
KUALA LUMPUR, 16 Sep 25 – PAS menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab mengetuai Perikatan Nasional (PN) sebagai pengerusi gabungan, selepas menolak tawaran itu sebelum ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi politik kini sudah berubah dan parti itu bersedia menerima peranan tersebut sekiranya diminta.
“Sebelum ini, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menawarkan jawatan pengerusi PN kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, tetapi ketika itu kami rasa masanya belum sesuai. Sekarang, keadaan sudah berbeza,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71, hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan mengenai calon perdana menteri atau hala tuju kepimpinan akan diputuskan melalui muktamar, selain perlu dibincangkan bersama rakan-rakan komponen dalam PN.
Takiyuddin turut menekankan kekuatan PAS dengan 43 kerusi Parlimen dan penguasaan empat negeri, menjadikan parti itu layak menawarkan kepimpinan lebih besar dalam blok pembangkang.
Sementara itu, beberapa pemimpin PAS turut menasihatkan Bersatu agar memperkukuhkan imej dan dasar parti. Tan Sri Annuar Musa, misalnya, menegaskan bahawa gabungan PN memerlukan barisan pelapis pemimpin yang berintegriti tinggi untuk meyakinkan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.