
KUALA LUMPUR | 13 Julai 26 – Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencetuskan gesaan supaya gabungan pembangkang itu melakukan rombakan menyeluruh selepas beberapa pemimpin dan pemerhati berpendapat krisis dalaman telah menjejaskan keyakinan pengundi.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha berkata, pergolakan yang berlaku dalam PN sepanjang tempoh menjelang pilihan raya menjadi antara faktor utama gabungan itu gagal meyakinkan rakyat Johor.
“Kemelut dalaman PN tidak meyakinkan mahupun menyenangkan pengundi Bangsa Johor yang bersifat pragmatik.” Katanya.
Menurut beliau, pengundi Johor lebih cenderung memilih gabungan yang dilihat stabil serta mempunyai kesepakatan berbanding parti yang sedang berdepan konflik dalaman.
Pandangan itu turut dikongsi Pimpinan Pusat Parti Wawasan Negara, Tan Tee Beng yang menyifatkan BERSATU kini berdepan kelemahan dari segi kepimpinan, kekuatan organisasi dan sokongan akar umbi.
Menurut beliau, BERSATU gagal menampilkan calon yang benar-benar mampu memberi saingan dalam PRN Johor.
“Bersatu tak ada calon yang sesuai untuk bertanding dalam PRN, just for the sake of contesting.”
Tee Beng yang juga mantan Ahli Parlimen Nibong Tebal turut berpandangan bahawa kekuatan BERSATU selama ini banyak bergantung kepada sokongan PAS.
“Tanpa sokongan PAS, Bersatu tak ada penyokong basis.”
Tambah beliau, gabungan itu juga dilihat kehilangan tokoh yang mampu menjadi wajah utama kempen.
“Tak nampak satu heavyweight yang cukup jelas yang boleh memimpin kempen Bersatu.”
Sementara itu, tokoh usahawan teknologi maklumat, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berpandangan kekalahan di Johor menunjukkan jenama PN kini berdepan krisis keyakinan yang memerlukan perubahan menyeluruh.
“Jenama PN sudah tercalar. Ia memerlukan rombakan secara menyeluruh melibatkan semua komponen.” Katanya.
Beliau berkata, semua parti komponen perlu kembali menilai matlamat sebenar perjuangan politik mereka sebelum menghadapi pilihan raya akan datang.
“Back to drawing board. Apa objective berpolitik? Nak change the current regime atau sekadar nak bertanding.” Ujarnya.
Katanya, proses penstrukturan semula itu perlu bermula dengan menentukan hala tuju yang jelas supaya gabungan tersebut kembali diyakini sebagai alternatif kepada kerajaan.
PRN Johor yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan PN gagal memenangi sebarang kerusi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kekalahan tersebut berlaku ketika PN dan BERSATU terus berdepan pelbagai kemelut dalaman, termasuk peletakan jawatan beberapa pemimpin, pertikaian mengenai kedudukan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU serta hubungan yang semakin tegang antara parti-parti dalam gabungan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.