
KUALA LUMPUR, 3 MEI 25 – Perikatan Nasional (PN) menjanjikan ‘persembahan’ yang baik ketika sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin nanti, memandangkan wakil rakyat mereka memang menantikan persidangan itu berlangsung, kata Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman.
Beliau berkata, blok pembangkang itu akan memastikan ketegasan Malaysia dalam bersifat neutral dan tidak tunduk kepada desakan luar akan dipertahankan ketika persidangan khas yang diadakan susulan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada negara di seluruh dunia.
“Penegasan tentang pendirian Malaysia supaya tidak berpihak dan tunduk kepada mana-mana tekanan kuasa dunia besar.
“Malaysia dan Asean perlu pertahankan prinsip kebebasan dan neutral itu yang kita amalkan sejak tertubuhnya negara Malaysia. Ini yang akan dibangkitkan pembangkang,” katanya, kepada politiko.my.
Syahir menegaskan, antara isu yang akan ditekankan pembangkang dalam sidang khas itu termasuklah gesaan agar Malaysia meneroka pasaran baharu disamping perlindungan kepada pengeksport tempatan.
“Yang biasa diulang adalah rundingan antarabangsa, meneroka pasaran baru, perkasa pengeksport tempatan dan lebih penting meneroka pasaran lebih luas dan tidak lagi bergantung kepada pasaran AS.
“Ada pembangkang cadang pelepasan cukai atau perlindungan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia yang berdepan impak kenaikan kos, penguncupan pasaran dan kesukaran adaptasi perubahan, jadi itu antara yang akan bawa,” jelasnya.
PN juga katanya mengharapkan kerajaan akan melakukan sidang khas sama bagi isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
“Di pihak pembangkang kita sambut baik kesediaan kerajaan buka Dewan Rakyat bagi bahasa impak dan tindakan boleh diambil tangani kesan tarif Trump ke atas Malaysia, jadi kita harapkan konsistensi di pihak kerajaan bila timbul isu mendesak seperti Palestin, isu tatakelola besar-besar seperti ‘bailput’ Kementerian Kewangan terhadap Sapura dan transaksi kontroversi BlackRock dan MAHB.
“Di pihak kami ketua whip dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin dah susun beberapa pembahas daripada PN, dan telah adakan taklimat, kita nantikan bagaimana bentuk persembahan, pastinya ada sumbang saran idea untuk kepentingan negara dan rakyat,” tambahnya. @politiko.my