
SEREMBAN | 16 Julai 26 – Barisan Nasional (BN) hanya mengumumkan 25 daripada 36 calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi diserahkan kepada rakan kerjasama baharu yang akan membuat pengumuman calon masing-masing dalam masa terdekat.
Mengikut pengumuman Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, daripada 25 calon yang diumumkan, UMNO akan bertanding di 16 kerusi, MCA di tujuh kerusi dan MIC di dua kerusi.
Walaupun Mohamad tidak menamakan parti berkenaan, pengumuman itu menguatkan lagi jangkaan mengenai kerjasama politik antara BN dan PAS menjelang PRN Negeri Sembilan.
“Seperti disebut Datuk Seri Presiden atau Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tadi, bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN Ke-16 ini, kita akan buat persefahaman dengan kawan.
“Tetapi jangan risau, kita tiada persefahaman dengan Linggi, kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai, insya-Allah,” ujarnya.
Selepas pengumuman itu, BERSATU dalam sidang medianya mengumumkan akan bertanding menggunakan logo parti sendiri selepas mendakwa PAS mengadakan rundingan politik dengan BN tanpa persetujuan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU selepas rundingan pembahagian kerusi PN gagal dimuktamadkan susulan pendirian PAS untuk bekerjasama dengan BN.
Beliau berkata, BERSATU kecewa kerana keputusan PAS mengadakan kerjasama dengan BN serta menyeru penyokong mengundi calon BN sebelum ini dibuat tanpa kelulusan Majlis Tertinggi PN.
Muhyiddin turut mengkritik kepimpinan PN apabila mendakwa Mesyuarat Majlis Tertinggi tidak dipanggil bagi membincangkan hala tuju gabungan walaupun berlaku perubahan besar dalam landskap politik menjelang PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN yang dijadualkan pada 12 Julai lalu turut ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Susulan itu, BERSATU memutuskan semua calonnya akan bertanding menggunakan simbol parti sendiri pada PRN Negeri Sembilan.
Perkembangan serentak itu memberi gambaran jelas bahawa percaturan politik menjelang PRN Negeri Sembilan kini memasuki fasa baharu apabila BN membuka ruang kepada rakan kerjasama baharu, manakala Bersatu pula memilih membawa haluan sendiri selepas hubungan dalam PN semakin tegang.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon mereka di PRN Negeri Sembilan, malam ini di Kompleks PAS Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.