PRN NS: Langkah Sederap, PN Lengkapkan 11 Calon Yang ‘Dikosongkan’ BN

SEREMBAN | 17 Julai 26 : Perikatan Nasional (PN) hari ini melengkapkan senarai 11 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan 25 calonnya.

Pengumuman itu sekali gus dilihat melengkapkan pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipersetujui antara kedua-dua gabungan, sekali gus mengukuhkan lagi gambaran wujudnya kerjasama strategik bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Senarai calon PN diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, membabitkan calon daripada PAS, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).

Menariknya, ketika mengumumkan senarai berkenaan, Ahmad Samsuri turut menyifatkan pengumuman tersebut sebagai menyahut kenyataan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang sebelum ini berkata baki calon akan diumumkan oleh “rakan yang boleh dipercayai”.

Sementara itu, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pengumuman berasingan calon BN dan PN sebagai bukti jelas bahawa kedua-dua gabungan telah mencapai persefahaman untuk bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan pembahagian kerusi, malah menjadi asas kepada pembentukan satu “jajaran baharu” dalam landskap politik negara.

Dalam perkembangan sama, Bersatu tidak tersenarai dalam pengumuman 11 calon PN hari ini. Sebaliknya, parti itu dijangka mengumumkan senarai calonnya sendiri yang akan bertanding menggunakan logo BERSATU.

Perkembangan tersebut menguatkan lagi persepsi bahawa formula kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan memberi penekanan kepada kerjasama antara BN dan PN, manakala BERSATU memilih haluan berasingan dalam menghadapi PRN kali ini.

PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini dilihat menjadi medan ujian pertama kepada model kerjasama BN-PN, dengan keputusan pilihan raya itu dijangka menjadi petunjuk sama ada formula berkenaan mampu membentuk landskap politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share