Peguam Kanan Cadang Kerajaan Beri Tanggungjawab Pada AG Berunding

KUALA LUMPUR, 5 Mei 25 – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa kerajaan memberi tanggungjawab kepada Peguam Negara (AG) dan Peguam Besar Negeri untuk berbincang dan seterusnya menasihati kerajaan pusat serta negeri dalam setiap pertikaian membabitkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Haniff berkata, kedua-dua mereka juga perlu berunding untuk menyelesaikan isu tuntutan Kerajaan Negeri Sarawak membabitkan pengagihan sumber asli negeri itu.

“Sebarang tuntutan yang dikehendaki perlu diselesaikan melalui persetujuan untuk menyelesaikan tindanan peruntukan Akta Parlimen dan undang-undang negeri berpandukan falsafah dan semangat Perlembagaan, dan sekiranya pengagihan minyak dan gas diberikan kepada Kerajaan Sarawak dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 perlu dipinda.

Tambah beliau, perkara itu perlu dilaksanakan oleh AG dan Peguam Besar Negeri memandangkan terdapat isu undang-undang yang bertindih dan perlu dipinda berkaitan Akta Parlimen dan Ordinan Negeri, berhubung dengan kuasa mereka berkaitan sumber asli di Sarawak.

“Tidak boleh ada undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan serta bertindih antara satu sama lain, termasuklah enakmen yang digubal di Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana implikasi yang akan berlaku besar dan memberi kesan kepada struktur tadbir urus negara, pelaburan dan ekonomi negara,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, tuntutan berkenaan berlarutan disebabkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum diselesaikan dan tidak diperbetulkan mengikut lunas perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut menyokong pembetulan sebarang kekhilafan yang berlaku dalam isu itu tetapi ia harus dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan Pusat dan negeri perlu segera untuk memuktamadkan isu yang dipertikaikan di bawah MA63 untuk mengelakkan ketidaksefahaman berlarutan.

“Isu ini sudah berlarutan selama enam dekad dan Perdana Menteri sendiri menyatakan ia akan diselesaikan di bawah kepimpinannya tetapi ia masih belum lagi berlaku,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan atas dasar kepentingan bersama.

Beliau berkata, perbincangan lanjut bagi memuktamadkan perkara itu akan diatur sebaik sahaja Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, kembali dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share