PAC Nilai Keperluan Buka Prosiding Pelaburan RM200 Juta KWAP

KUALA LUMPUR | 17 Julai 26 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang menilai keperluan untuk membuka prosiding berhubung pelaburan hampir RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, yang dikaitkan dengan dakwaan penipuan kewangan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bagi menentukan sama ada siasatan rasmi perlu dijalankan.

Menurut beliau, setakat ini isu berkenaan belum dimasukkan dalam agenda prosiding PAC kerana jawatankuasa masih memberi tumpuan kepada beberapa siasatan lain yang sedang berjalan.

“PAC akan berbincang sama ada terdapat keperluan untuk membuka prosiding berhubung pelaburan KWAP dalam eFishery,” katanya dalam sidang media Parlimen, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan yang didakwa dilakukan oleh pihak pengurusan eFishery selepas syarikat itu dipercayai memanipulasi penyata kewangan bagi menarik pelaburan daripada pelabur institusi.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan pelaburan tersebut dibuat mengikut prosedur tadbir urus dan proses usaha wajar (due diligence) yang ditetapkan.

Beliau berkata, keputusan pelaburan dibuat berdasarkan penyata kewangan yang diaudit, penilaian bebas serta penglibatan beberapa pelabur institusi antarabangsa yang turut melabur dalam syarikat berkenaan.

Antara pelabur lain yang terlibat ialah Temasek, SoftBank, Northstar dan 42XFund.

Bagaimanapun, pendedahan mengenai dakwaan penyelewengan kewangan dalam eFishery menimbulkan persoalan mengenai tahap perlindungan terhadap dana persaraan awam serta keberkesanan proses penilaian pelaburan, sekali gus mendorong PAC mempertimbangkan sama ada siasatan lanjut perlu dijalankan.

Sekiranya prosiding dibuka, PAC dijangka meneliti proses kelulusan pelaburan, mekanisme pengurusan risiko serta aspek tadbir urus yang digunakan KWAP sebelum membuat pelaburan dalam syarikat berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share