
KUALA LUMPUR, 22 Jun 25 – Kumpulan masyarakat sivil Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera memfailkan semula pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak terkait pertuduhan menyelewengkan dana RM27 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).
Projek Sama turut menggesa Anwar segera memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan berikutan kes berkenaan diberikan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah.
Turut menjadi kebimbangan, penangguhan selanjutnya boleh membawa kepada pembebasan penuh.
“Tanpa tindakan pantas dan telus, DNAA boleh digunakan sebagai batu loncatan ke arah pembebasan penuh dalam kes rasuah berprofil tinggi,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan baru-baru ini.
Projek Sama berkata keputusan beberapa hari lalu bukanlah DNAA pertama terhadap Najib, dengan kali pertama berlaku pada 27 Nov lepas.
Dalam kedua-dua kes tersebut, Projek Sama berkata, keputusan mahkamah dibuat akibat kelewatan pihak pendakwaan atau ketiadaan dokumen yang diperlukan.
“Adakah DNAA kini menjadi prosedur operasi standard untuk melepaskan Najib?” soal kumpulan itu lagi.
Projek Sama menegaskan keputusan DNAA yang berulang-ulang akan menghakis keyakinan awam dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kemungkinan berlakunya kegagalan institusi yang membolehkan skandal 1MDB berlaku.
“Alasan ini bukan sahaja tidak boleh diterima, malah amat membimbangkan,” kata Projek Sama.
“Kegagalan sistemik seperti ini menjejaskan integriti demokrasi Malaysia, mencemarkan kredibiliti sistem keadilan, dan mengosongkan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.”
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA kepada Najib berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka belum bersedia untuk meneruskan kes walaupun pertuduhan telah difailkan sejak Feb 2019. @politiko.my