Wawasan Negara, Parti Berwajah Malaysia

Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) telah sah didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 6 Julai 2026.

Maka, bercambahlah wahana tiga-dalam-satu perjuangan Datuk Seri Hamzah Zainudin, iaitu sebuah parti politik bagi melonjakkan gerakan Reset (bermula 14 Februari 2026) untuk melaksanakan gagasan Konsensus Nasional Baru (sejak 22 Mei 2025)

Kini, orang bertanya apakah itu Wawasan Negara?

Pada saya, Wawasan Negara punya Garis-garis Besar Haluan Perjuangan yang berdasarkan falsafah dan pemikiran tertentu. Ia diwakili lima ciri, iaitu idealisme perjuangan, bentuk organisasi, panduan dan kerangka, amalan politik dan gagasan.

Idealisme Perjuangan

Perjuangan Wawasan Negara ialah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (enjoining good and forbidding evil).

Apabila diterjemah kepada nilai-nilai, ia bermakna menegakkan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan serta memerangi kepalsuan, kezaliman dan kemusnahan. Matlamatnya ialah berbakti kepada pertiwi tanpa mengira kaum, agama dan wilayah agar semuanya dirahmati dan diberkati.

Bentuk Organisasi

Kita ingin menjadi ‘parti berwajah Malaysia’ (Malaysian face) yang terbuka keahliannya buat setiap rakyat. Keahliannya harus selari dengan komposisi demografi rakyat.

Ini berkait rapat dengan usaha mewujudkan konfigurasi politik yang stabil, iaitu kerajaan yang mendapat sokongan majoriti daripada golongan majoriti dan majoriti (atau sekurang-kurangnya angka signifikan) daripada golongan minoriti.

Panduan dan Kerangka

Panduan utama parti ialah teras-teras induk negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Maksudnya ialah melaksanakan kehendak-kehendak yang terkandung dalamnya iaitu dari segi peruntukan-peruntukan dan rohnya. Ini termasuklah merujuk dan mempertahankan tonggak-tonggak perlembagaan (pillars of the constitution).

Kuncinya ialah kesederhanaan, iaitu moderat, seimbang dan mampan. Kita merayakan (celebrate) kepelbagaian rakyat, hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence), dan setiap orang memainkan peranan dan menerima manfaat dengan saksama.

Amalan Politik

Menginsafi keresahan rakyat terhadap politik lama yang kotor, korup dan kosong, maka kita mesti membangun politik baru yang bersih, berintegriti dan berkesan.

Ini bermakna menghayati elemen-elemen demokrasi matang. Dari segi politik, ialah politik ilmu, hikmah dan bakti, bukannya politik merapu/mengampu, fitnah/serakah dan manipulasi undi. Dari segi governans, ialah penghakupayaan, perwakilan dan perundingan/syura. Juga menyuburkan politik berorientasi-polisi, bukannya politik berorientasi-personaliti.

Mesti meninggalkan perkauman sempit, ekstrim, elitis dan pasif, dan menggerakkan elemen-elemen pertengahan (centrist), partisipatori, deliberatif dan progresif.

Gagasan

Wawasan Negara punya gagasan komprehensif dan futuris iaitu Konsensus Nasional Baru. Ia bermakna penyatuan pemikiran rakyat tentang Malaysia yang diidami. Konsensus ini tercapai dengan cara ‘bersetuju untuk bersetuju’ atas perkara-perkara asas/pokok (foundational), fundamental dan substantif, serta ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ atas perkara-perkara cabang/ranting, tambahan-tambahan dan bentuk-bentuk luaran.

Matlamat utamanya ialah membina Malaysia yang lebih baik. Maju. Makmur. Bahagia.

Ia direalisasikan melalui tiga tonggak, iaitu ‘matlamat bersama’, ‘kemakmuran bersama’ dan ‘tadbir urus berperikemanusiaan’.

Ini menuntut reset dilakukan dalam dasar-dasar, sistem-sistem dan institusi-institusi seluruh kehidupan rakyat. Supaya yang salah, dibetulkan; yang baik, ditambah nilai; yang rosak diganti.//

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Bina Konsensus Nasional Baharu Dari Suara Akar Umbi

Identiti nasional bangsa Malaysia kini sudah dipersetujui bersama di mana kewatanan bangsa Melayu menjadi asas bangsa Malaya dan kewarganegaraan diberikan kepada komuniti Cina dan India taat setia dan patriotisme kepada Malaya dan memutuskan politik negara asal mereka.
Read More
Total
0
Share