
KUALA LUMPUR | 19 Julai 26 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa sebarang bentuk kerjasama politik antara UMNO dan PAS perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui gerak kerja jentera parti, malah sokongan pengundi di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan pendirian yang disuarakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan berharap sokongan daripada kedua-dua pihak dapat dizahirkan melalui keputusan politik yang dipersetujui bersama.
“Sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, kita juga tentu akan melakukan perkara yang sama. Dan kita harap bukan hanya jentera tetapi pengundi-pengundi di kedua-dua pihak agar dapat menerjemahkan dukungan keputusan daripada kedua-dua parti gabungan ini,” katanya.
Kenyataan Zahid itu dilihat memberi gambaran bahawa UMNO mahu memastikan sebarang persefahaman politik tidak terhenti di peringkat kepimpinan parti semata-mata, sebaliknya mendapat penerimaan daripada akar umbi.
Isyarat tersebut hadir ketika hubungan antara UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan kedua-dua parti pernah berada dalam satu kerangka kerjasama menerusi Muafakat Nasional sebelum ini.
Walaupun belum memperincikan bentuk kerjasama yang dimaksudkan, kenyataan Zahid menunjukkan kepentingan sokongan akar umbi dalam menentukan hala tuju politik gabungan yang melibatkan kedua-dua parti.
Pemerhati politik melihat faktor keserasian pengundi tradisi UMNO dan PAS bakal menjadi elemen penting sekiranya kedua-dua parti memilih untuk memperkukuhkan hubungan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
Pada PRN Johor yang lalu, Presiden PAS mengarahkan ahli dan penyokong mereka untuk mengundi Barisan Nasional dimana kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional. Ia menyaksikan BN menang 48 kerusi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.