
PULAU PINANG | 17 Feb 26 – Gelombang perletakan jawatan dalam BERSATU terus merebak apabila dua bahagian — Kepala Batas dan Padang Rengas — mengumumkan pembubaran struktur serta keluar parti beramai-ramai berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab, mengisytiharkan bahagian itu “sudah pun terkubur” selepas keseluruhan kepimpinan bahagian, cawangan dan sayap meletakkan jawatan secara total.
Menurutnya, keputusan itu dibuat secara bermaruah kerana tidak lagi mahu mempertahankan keadaan yang disifatkan menyimpang daripada prinsip asal perjuangan parti.
“Perjuangan kami mungkin berubah wadah tetapi prinsip integriti dan maruah tidak akan kami gadaikan. Selamat tinggal Bersatu,” katanya dalam kenyataan tegas.
Sementara itu, Pemangku Ketua Bahagian Padang Rengas, Mazlan Ibrahim bersama seluruh jawatankuasa bahagian turut mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Beliau secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Muhyiddin Yassin, sekali gus mengesahkan jawatankuasa bahagian tersebut terbubar secara rasmi.
Langkah drastik dua bahagian itu dilihat sebagai tamparan langsung kepada kepimpinan pusat, sekali gus memperlihatkan krisis dalaman parti kini memasuki fasa keruntuhan struktur di peringkat akar umbi.
Perkembangan terbaharu ini menimbulkan persoalan sama ada gelombang keluar parti akan terus merebak ke bahagian lain dalam masa terdekat.
13 Feb, Jumaat lalu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat serta-merta dari BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.