
KUALA LUMPUR | 23 Julai 26 – Mantan pemimpin PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor menegaskan usaha memperkukuh politik Melayu-Islam tidak seharusnya dilabel sebagai bersifat perkauman, sebaliknya merupakan usaha mengembalikan negara kepada asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, politik Melayu-Islam merupakan tunjang kepada pembinaan negara dan perlu terus diperkasakan bagi memastikan asas tersebut tidak terhakis.
“Politik Melayu-Islam itu adalah asas Perlembagaan. Politik itu maknanya kuasa. Kuasa Melayu-Islam itu sebagai tunjang dan asas pembinaan negara ini,” katanya ketika berucap pada satu program semasa kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, terdapat pihak yang melabel usaha memperkukuh politik Melayu-Islam sebagai rasis, namun dakwaan itu disifatkannya tidak berasas.
“Jangan kata sekarang ini kita memperkukuhkan politik Melayu-Islam sebagai rasis. Bukan rasis. Kita memperkukuhkan kerana kita mahu balik kepada asas Perlembagaan,” katanya.
Ezam menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam dan orang Melayu sebagai antara asas pembentukan negara, di samping mengiktiraf hak kaum-kaum lain.
Menurut beliau, memperkukuh politik Melayu-Islam tidak bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Melayu, sebaliknya memastikan asas pembinaan negara terus dipertahankan.
Dalam ucapannya, beliau turut mendakwa kerosakan terhadap tunjang politik Melayu-Islam akan memberi kesan kepada kestabilan negara.
“Kalau ini kita serang, kita rosakkan, kita hancurkan, kita akan rosak,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalamannya ketika bersama PKR, namun menegaskan pendiriannya kini adalah untuk mempertahankan politik Melayu-Islam sebagai tunjang yang selaras dengan kerangka Perlembagaan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.