
KUALA LUMPUR | 28 Sep 26 – “Jika Raja boleh memecat mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih sebagai EXCO sesuka hati, mengapa kita memerlukan pilihan raya?”
Persoalan itu dibangkitkan mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim ketika mempertikaikan tafsiran Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berhubung kedudukan EXCO Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan di Facebook semalam, Zaid berkata tafsiran bahawa EXCO berkhidmat atas perkenan Raja adalah salah dan perlu dilihat dalam konteks kerajaan berperwakilan serta demokrasi.
“Saudara ialah peguam tertinggi negara, tetapi tafsiran saudara bahawa EXCO berkhidmat atas perkenan Raja adalah salah.
“Sudah tentu saudara pernah mendengar mengenai konsep kerajaan berperwakilan dan demokrasi,” katanya.
Kenyataan Zaid itu dibuat selepas Peguam Negara mengesahkan bahawa pembatalan pelantikan 10 EXCO Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, adalah sah mengikut undang-undang negeri.
Dusuki berkata tindakan itu dibuat berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, yang memperuntukkan bahawa seseorang EXCO selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar.
“Berdasarkan warta Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz,” katanya.
Warta pembatalan itu berkuat kuasa mulai 20 September, manakala warta berkenaan diterbitkan pada 24 September.
Zaid bagaimanapun mempersoalkan implikasi tafsiran tersebut terhadap wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya.
“Jika Raja boleh memecat mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih sebagai EXCO sesuka hati, mengapa kita memerlukan pilihan raya? Mengapa membazirkan jutaan ringgit untuk menganjurkannya?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Majlis Peguam yang menurutnya sepatutnya lebih berminat membawa tafsiran mengenai kedudukan EXCO itu ke mahkamah berbanding isu kesahihan tahanan rumah.
“Saya menyangka Majlis Peguam akan lebih berminat membawa tafsiran bahawa EXCO berkhidmat atas perkenan Raja ini ke mahkamah, berbanding isu kesahihan tahanan rumah,” katanya.
Zaid menegaskan pertikaian itu menyentuh soal demokrasi.
“Demokrasi yang menjadi taruhan. Tetapi Majlis Peguam mempunyai keutamaan yang berbeza, seperti yang dapat dilihat,” katanya.
Pertikaian itu kini mempertemukan dua persoalan utama iaitu tafsiran Perkara 38(5) mengenai kedudukan EXCO dan persoalan sejauh mana kuasa tersebut perlu dibaca bersama prinsip kerajaan berperwakilan serta mandat wakil rakyat melalui pilihan raya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.