
KUALA LUMPUR | 23 Julai 26 – Dakwaan yang tular di media sosial kononnya Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan serta memberi jaminan pelantikan baharu Yang di-Pertuan Besar akan diselesaikan segera, didapati tidak benar.
Semakan Politiko terhadap rakaman jawapan Hamzah kepada wartawan mendapati kenyataan sebenar beliau langsung tidak menyebut nama Jalaluddin mahupun isu pelantikan Yang di-Pertuan Besar seperti yang didakwa dalam grafik berkenaan.
Sebaliknya, Hamzah menjelaskan bahawa Perikatan Nasional bersedia memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.
“Kami pasti untuk menyokong, berikan peluang itu kepada pemimpin Barisan Nasional untuk menentukan siapa.”
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun PN mempunyai calon pilihannya sendiri, keputusan mengenai jawatan Menteri Besar perlu diputuskan melalui perbincangan bersama antara kedua-dua parti.
“Kami tahu kami mahukan siapa. Tapi kalau Barisan Nasional nak lain, kita duduk bincang.”
Menurut Hamzah lagi, hasrat PN ialah supaya jawatan Menteri Besar disandang oleh wakil daripada BN dan pengumuman mengenainya diserahkan kepada kepimpinan Barisan Nasional.
“Kami semua ini mahu supaya ianya datang daripada Barisan Nasional. Kita serahkan kepada Barisan Nasional untuk mengumumkan.”
Rakaman jawapan Hamzah kepada wartawan juga tidak mengandungi sebarang kenyataan mengenai pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau jaminan bahawa pelantikan tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, dakwaan dalam grafik yang mendakwa Hamzah mengumumkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar serta memberi jaminan mengenai pelantikan Yang di-Pertuan Besar adalah tidak disokong oleh rakaman kenyataan beliau dan berpotensi mengelirukan orang ramai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.