
KUALA LUMPUR | 10 Sep 26 – Politik identiti masih dominan dalam menentukan sokongan politik rakyat Malaysia, namun prestasi kerajaan dan pemimpin semakin menjadi ukuran penting dalam menilai sokongan pengundi.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, berkata politik identiti yang berasaskan kaum, etnik, agama, budaya atau kelompok tertentu masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam politik Malaysia.
Menurutnya, politik identiti memberi tumpuan kepada hak, kepentingan dan pengalaman khusus sesuatu kelompok, namun boleh menyebabkan perpecahan sosial dan polarisasi sekiranya kepentingan kelompok mengatasi kepentingan negara secara keseluruhan.
“Umumnya, politik identiti lebih kuat daripada politik prestasi,” katanya kepada Politiko ketika mengulas polemik politik identiti dan politik prestasi.
Mazlan berkata politik prestasi pula lebih menekankan pencapaian yang boleh diukur, termasuk kecekapan pentadbiran, tadbir urus, pertumbuhan ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat, kawalan inflasi serta keberkesanan sesuatu dasar.
Beliau berkata kecenderungan terhadap politik identiti dan politik prestasi turut dipengaruhi latar sosial masyarakat, dengan kelompok yang lebih berpendidikan, tinggal di bandar, berpendapatan menengah dan tinggi serta lebih banyak berinteraksi dalam masyarakat pelbagai kaum cenderung menerima politik berasaskan prestasi.
Bagaimanapun, beliau berpandangan politik identiti masih lebih kuat secara keseluruhannya dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata politik identiti masih kuat tetapi tidak lagi mencukupi untuk menentukan sokongan pengundi.
Menurutnya, politik identiti merujuk kepada sokongan berdasarkan kaum, agama, budaya atau kelompok tertentu, manakala politik prestasi menilai parti dan pemimpin berdasarkan pencapaian dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata politik identiti boleh melemahkan pembangunan ekonomi sekiranya isu kaum dan agama terlalu mengatasi pertimbangan terhadap dasar yang cekap dan produktif.
Namun, katanya, politik identiti tidak semestinya negatif sekiranya diurus secara sederhana dan inklusif.
“Berdasarkan konteks Malaysia, politik identiti masih kuat tetapi tidak lagi mencukupi,” katanya.
Tawfiq berkata pengundi hari ini juga semakin menilai harga barang, pekerjaan, pendapatan dan kecekapan pentadbiran ketika membuat pertimbangan politik.
“Jadi saya bersetuju politik hari ini lebih kepada gabungan identiti dan prestasi,” katanya.
Perbezaan pandangan kedua-dua penganalisis itu menunjukkan politik Malaysia belum sepenuhnya beralih daripada politik identiti kepada politik prestasi.
Sebaliknya, identiti masih menjadi faktor penting dalam membentuk sokongan, manakala prestasi semakin menjadi ukuran terhadap kemampuan pemimpin dan kerajaan untuk mengekalkan kepercayaan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.