
KUALA LUMPUR | 25 Julai 26 – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara, Tun Fiqa Mohammad mendakwa Pakatan Harapan (PH) merupakan “Titanic” sebenar yang sedang karam akibat kegagalan menunaikan pelbagai janji yang pernah ditawarkan kepada rakyat ketika menjadi pembangkang.
Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh, yang menggunakan analogi “Titanic” bagi mengkritik kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Mungkin realiti inilah yang mendorong YB Hannah Yeoh menggunakan analogi Titanic untuk menyerang kerjasama BN-PN. Namun, Titanic sebenar di mata rakyat bukanlah BN-PN. Sebaliknya, kapal mega yang sedang karam itu ialah Pakatan Harapan sendiri, sebuah kapal yang sarat dengan janji-janji yang tidak ditepati,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tun Fiqa, PH memulakan pelayaran politiknya dengan manifesto yang menjanjikan penurunan kos sara hidup, pelaksanaan reformasi, meringankan beban rakyat serta mewujudkan pentadbiran yang lebih bersih, namun beliau mendakwa, banyak daripada janji PH masih gagal ditunaikan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih melaungkan slogan reformasi walaupun telah mentadbir negara.
“Kapal PH mula belayar dengan manifesto yang penuh dengan ilusi. Melaungkan kononnya kos sara hidup akan turun, reformasi akan dilaksanakan, beban rakyat akan diringankan dan politik akan menjadi lebih bersih tanpa korupsi. Tetapi selepas mendapat mandat, kerajaan ini masih lagi menjerit ‘Reformasi!’. Persoalannya, apa lagi yang mahu direformasikan? Laksanakanlah perubahan itu kerana anda kini merupakan kerajaan yang memerintah,” katanya.
Tun Fiqa berkata analogi “Titanic” yang digunakan Hannah sebenarnya lebih tepat menggambarkan keadaan PH yang menurutnya sedang tenggelam di bawah beban manifesto sendiri.
Beliau turut mendakwa rakyat di Negeri Sembilan masih berdepan pelbagai masalah asas termasuk jalan raya rosak, gangguan bekalan air, peluang pekerjaan yang terhad, pembangunan luar bandar yang perlahan serta isu perumahan mampu milik yang belum diselesaikan.
Selain itu, beliau turut membangkitkan dakwaan mengenai campur tangan kerajaan Persekutuan dalam urusan adat dan institusi diraja di negeri berkenaan.
Menurutnya, rakyat perlu menilai DAP berdasarkan rekod pentadbirannya dan bukannya sekadar slogan politik atau kempen di media sosial.
Beliau berkata pilihan raya merupakan medan terbaik untuk rakyat membuat penilaian terhadap prestasi sesebuah kerajaan.
“Sabah sudah bersuara. Johor sudah menetapkan pendirian. Kini, tiba giliran Negeri Sembilan. Apabila rakyat membuang undi kelak, mereka sendiri akan menentukan kapal mana yang sebenarnya sedang tenggelam,” katanya.
Tun Fiqa malah mendakwa kenyataan Hannah Yeoh mencerminkan kebimbangan PH terhadap sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Dan pada pandangan saya, jika dibaca di sebalik kenyataan Hannah, satu perkara amat jelas kelihatan, iaitu kenyataan itu mencerminkan rasa takut,” katanya.
Hannah Yeoh baru-baru ini dilaporkan berkata, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ibarat Titanic yang hanya menunggu masa untuk tenggelam, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana kerjasama tersebut tidak dibina atas asas kepercayaan atau kesetiaan.
“Saya mengibaratkan kerjasama mereka seperti Titanic yang boleh tenggelam pada bila-bila masa,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.