
KUALA LUMPUR | 3 Sep 26 – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kini memasuki fasa lebih serius apabila 18 individu telah ditahan, dengan 11 daripadanya direman setakat 2 September.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan itu turut melibatkan 14 kertas siasatan, selain 245 saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan 60 premis diperiksa serta digeledah bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
“Setakat ini sebanyak 18 individu ditahan dengan 11 daripadanya ditahan reman, selain memanggil 245 saksi serta memeriksa dan menggeledah 60 premis, bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, 2 September lalu.
Menurut Abd Halim, daripada 14 kertas siasatan yang dibuka, empat telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), manakala siasatan terhadap kertas-kertas lain masih berjalan.
Antara 11 individu yang telah direman ialah bekas CEO TH Plantation, bekas CFO TH Plantation, bekas pengarah Putra Perdana Construction Sdn Bhd, bekas Pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.
Seorang bekas menteri turut termasuk dalam perkembangan terbaharu apabila ditahan SPRM pada 1 September bagi membantu siasatan berkaitan isu pajakan hotel Tabung Haji di Makkah dan Madinah.
Beliau kemudiannya direman selama lima hari bermula 2 September.
Siasatan SPRM itu bukan hanya tertumpu kepada satu urus niaga, sebaliknya meliputi sekurang-kurangnya lapan isu utama yang dibangkitkan susulan RCI.
Antaranya dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan pelaburan Tabung Haji dalam TH Marine, TH-Alam dan TH Alam Management berjumlah RM334.2 juta, selain pelaburan dalam Alfareeda Residential Fund bernilai Saudi Riyal 76 juta.
SPRM turut menyiasat pelaburan dan pajakan Tabung Haji dalam Al-Rawda Real Estate Development & Project Management Co Ltd. di Makkah dan Madinah berjumlah Saudi Riyal 2.49 bilion.
Isu lain termasuk pembayaran bonus RM2.2 juta tanpa kelulusan lembaga pengarah di TH Properties Sdn Bhd, dakwaan rasuah berkaitan THHR dan LTH serta penyerahan aset Tabung Haji kepada UJSB bernilai RM804.1 juta.
Dalam perkembangan terbaharu, Abd Halim berkata beberapa individu yang pernah ditahan sebelum ini akan didakwa di mahkamah, dengan pertuduhan dijangka dibuat di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kelantan.
Menurutnya, dua pertuduhan yang bakal difailkan masing-masing melibatkan penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, satu lagi kertas siasatan berkaitan pajakan hotel dalam pelaburan Al-Rawda di Makkah dan Madinah akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk pertimbangan pertuduhan minggu hadapan.
Abd Halim juga tidak menolak kemungkinan ia membabitkan golongan kenamaan yang pernah direman SPRM sebelum ini.
Perkembangan itu menunjukkan siasatan RCI Tabung Haji masih belum berakhir, malah berpotensi memasuki fasa pendakwaan selepas SPRM melengkapkan siasatan terhadap beberapa isu yang dikenal pasti dalam laporan berkenaan.
Bagaimanapun, penahanan atau reman bagi membantu siasatan tidak bermaksud seseorang itu telah melakukan kesalahan. Sebarang pertuduhan masih perlu dibuktikan melalui proses mahkamah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.