Annuar Pertahan Sanusi, Dakwa Ucapan Telah Diputar Belit

KUALA LUMPUR | 25 Julai 26 – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempertahankan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ungkapan “Cina ada China, India ada India, Melayu cuma ada Tanah Melayu”, dengan menyifatkan ucapan itu telah diambil di luar konteks.

Menurut Annuar, beliau mengikuti keseluruhan ucapan Sanusi dan berpandangan kenyataan tersebut tidak bertujuan mengguris perasaan mana-mana kaum di Malaysia.

Katanya, ucapan Menteri Besar Kedah itu dibuat dalam konteks mengajak orang Melayu bersatu mempertahankan tanah asal mereka, dan bukan mempertikaikan kedudukan atau hak kaum lain.

“Ucapan itu adalah dalam konteks perlunya orang Melayu bersatu padu mempertahankan tanah airnya, satu-satunya tanah asal (ancestral land) mereka. Ia bersifat mendorong sentimen nasionalisme dan cintakan tanah air orang Melayu,” katanya di facebook beliau, hari ini.

Annuar turut menegaskan bahawa Sanusi tidak menyentuh soal kesetiaan, kerakyatan atau kewarganegaraan rakyat Malaysia daripada kaum lain.

Beliau berkata, sebagai individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang sejarah, Sanusi memahami konteks sejarah berkaitan asal-usul sesuatu kaum.

Menurutnya, setiap bangsa mempunyai tanah asal masing-masing, namun hakikat itu tidak menafikan kewarganegaraan seseorang yang telah menjadi rakyat negara lain.

Annuar turut mendakwa kenyataan Sanusi telah diputar belit sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah beliau mempertikaikan kesetiaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS dan UMNO merupakan antara parti yang wujud sebelum kemerdekaan serta pernah mentadbir negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum selama puluhan tahun.

Justeru, beliau berpandangan kedua-dua parti itu tidak berpegang kepada fahaman perkauman sempit, sebaliknya terus mengangkat perpaduan Melayu sebagai asas kepada kestabilan negara yang turut memberi manfaat kepada semua kaum.

Kenyataan Annuar itu hadir susulan kritikan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), DAP dan MIC terhadap ucapan Sanusi yang didakwa berbaur perkauman, selain gesaan supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan tersebut.

Sanusi ketika berceramah di Jempol, menyebut orang Melayu tidak mempunyai tanah air lain manakala kaum India, Cina, Kemboja dan Thai mempunyai negara yang dikaitkan dengan kelompok etnik masing-masing.

“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand.

“Melayu di mana? Melayu di sini saja,” kata Sanusi di hadapan lebih 300 hadirin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share