
KUALA LUMPUR | 20 Sep 26 – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berpandangan soal pembahagian kerusi pada PRN Melaka tidak sepatutnya menjadi isu sekiranya keputusan dibuat melalui satu “Payung Besar” yang dipersetujui bersama.
Menurut Zamani, termasuk jika UMNO diberikan 28 kerusi untuk ditandingi, ia tetap tidak menjadi masalah sekiranya keputusan itu dibuat oleh Payung Besar yang menghimpunkan parti politik, NGO dan golongan akademik.
“Jangankan 21 kerusi. UMNO nak ambil 28, mereka ambillah semua. Formula dia ialah, kita wujudkan payung besar.
“Kalau payung besar membuat keputusan, di Melaka itu UMNO seluruhnya bertanding, maka UMNO masuk membawa agenda Payung Besar. Tak ada masalah,” katanya dalam podcast politikopi bertajuk ‘Penyatuan Ummah; Eksklusif Atau Inklusif’, semalam.
Zamani berkata, dalam keadaan itu, UMNO tidak bertanding atas agenda parti semata-mata, sebaliknya membawa keputusan yang telah dipersetujui oleh Payung Besar.
“Jadi maknanya kita memberi restu Payung Besar ini yang menghimpunkan NGO, parti politik, akademik ini merestui membuat keputusan Payung Besar menghantar 28 kerusi UMNO semuanya.
“Sebab dia pergi bukan atas UMNO. Dia pergi kerana membawa agenda Payung Besar,” katanya.
Beliau turut memberikan gambaran sama sekiranya formula itu digunakan di Terengganu, dengan Payung Besar memutuskan PAS bertanding di semua kerusi.
“Kalau timbul di Terengganu, katalah Payung Besar buat keputusan, okey, semuanya PAS belaka. Dia tak ada masalah.
“Sebab itu diputuskan dalam Payung Besar. Dan UMNO pun dia akur kepada keputusan Payung Besar. PAS pun akur kepada Payung Besar,” katanya.
Bagi Zamni, perkara utama bukan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada mana-mana parti, tetapi keputusan itu dibuat melalui satu payung bersama yang dipersetujui semua pihak terbabit.
Isu kerusi di PRN Melaka menimbulkan pertikaian antara BN dan PN dalam usaha menjalin kerjasama politik seperti mana di PRN Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan UMN BN menang dengan majoriti besar berbanding sebelumnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.