Baju Berbeza, Misi Sama – Jalaluddin Dakwa Jentera PN-BN Kini Satu Pasukan

SEREMBAN | 27 Julai 2026 – Perbezaan logo dan warna parti tidak lagi menjadi penghalang apabila jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan kini bergerak sebagai satu pasukan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerjasama antara dua gabungan politik yang sebelum ini pernah menjadi pesaing mengambil sedikit masa pada peringkat awal, namun penyelarasan gerak kerja kini menunjukkan perkembangan positif terutama di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, jentera BN dan PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah mula bergerak bersama dengan satu matlamat bagi meyakinkan rakyat supaya memberikan mandat kepada gabungan tersebut pada 1 Ogos.

“Fasa pertama apabila kita bekerjasama dengan satu rakan yang lain mungkinlah menampakkan sedikit perlahan,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama pimpinan PN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Jalaluddin berkata keadaan itu berubah apabila jentera di peringkat akar umbi kini mula memahami peranan masing-masing dan bergerak sebagai satu pasukan.

“Total sekarang, kalau kita tengok di peringkat akar umbi, di peringkat DUN, kedua-dua jentera bergerak sebagai satu pasukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata pengalaman turun ke lapangan menunjukkan kerjasama antara jentera PAS dan UMNO semakin tersusun, termasuk penglibatan sayap wanita kedua-dua parti yang kini bergerak bersama.

“Tadi saya baru balik daripada satu DUN dan Muslimah. Daripada PAS bergerak dengan anggota JR Wanita UMNO sebagai satu pasukan. Yang membezakan mereka ialah pakaian itu saja,” katanya.

Menurut Jalaluddin, perbezaan pakaian dan identiti parti tidak lagi menjadi isu apabila kedua-dua gabungan membawa visi serta matlamat yang sama dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“Bagi visi dan matlamat, mereka bawa satu untuk memberikan keyakinan kepada rakyat supaya memberikan mandat besar kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional pada 1 Ogos,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Samsuri Mokhtar berkata isu berkaitan calon Menteri Besar Negeri Sembilan masih belum dibincangkan secara rasmi antara kedua-dua gabungan.

Beliau berkata, walaupun banyak perkara masih perlu diperhalusi, hubungan antara kepimpinan PN dan BN setakat ini berjalan lancar serta tidak dijangka berdepan masalah besar.

“Saya rasa Datuk Seri Jalaluddin pun dah disebut tadi bahawa kita belum bincang tentang perkara itu dan sebenarnya banyak perkara yang kita belum bincang,” katanya.

Samsuri berkata perbincangan antara kedua-dua pihak tidak sukar dan beliau yakin segala perkara termasuk keputusan berkaitan calon Menteri Besar akan berjalan lancar apabila tiba masa yang sesuai.

“Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, kita dapati bahawa perbincangan di antara kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tidak sukar sebenarnya dan saya jangka tidak ada isu yang akan timbul apabila sampai waktu dan ketikanya,” katanya.

Kerjasama PN-BN di Negeri Sembilan kini menjadi antara perhatian utama menjelang PRN apabila kedua-dua gabungan cuba membuktikan bahawa penyatuan jentera di peringkat akar umbi mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi pada hari pengundian. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share