
KUALA LUMPUR, 28 Sep 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar membuktikan cintanya kepada perjuangan Palestin dengan membatalkan hasrat menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, ini kerana Trump dan AS adalah sekutu kuat yang membantu menjayakan rancangan Israel membantai rakyat Palestin.
“Kalau betul PMX mencintai perjuangan Palestin tarik balik undangan Trump. Kalau tidak. Turun Anwar! Halau Trump!, ” kata Rafique dalam satu hantaran Facebook.
Katanya, AS juga menggunakan kuasa veto dipentas dunia untuk menghalang gencatan senjata bagi menghentikan serangan terhadap Palestin.
“PMX (Anwar) pula kata jemputan ini penting supaya Trump sendiri tahu naratif dan pendirian Malaysia serta Asean berkenaan isu geopolitik global lebih-lebih lagi konflik Palestin-Israel.
“Tambahnya penting bagi Malaysia berurusan secara strategik. Alasan(baca sebagai helah) ini tidak masuk akal.
“Genosid dan pembunuhan serta jenayah perang tidak ada garis kelabu. Ianya hitam atau putih,” kata Rafique.
Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan Malaysia membatalkan jemputan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia.
Menurut beliau, tindakan itu perlu diambil kerana Trump dianggap sebagai pendukung utama jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. Katanya, sejak Oktober 2023 lebih 70,000 rakyat Palestin termasuk 20,000 kanak-kanak terkorban dalam serangan tentera Israel yang disokong Amerika Syarikat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.