
SEREMBAN | 29 Julai 2026 – Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata parti itu menyasarkan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar serta penyokong Pakatan Harapan (PH) yang kecewa, sekali gus menafikan dakwaan penubuhannya bertujuan memecahkan undi Melayu dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, strategi Parti Wawasan Negara adalah memperluaskan pengaruh PN ke kelompok pengundi sederhana, khususnya di Pantai Barat, yang sebelum ini sukar menerima gabungan tersebut. Katanya, parti itu mahu mengisi ruang politik baharu dengan mendekati pengundi yang selama ini menyokong PKR, Amanah dan DAP.
“Kami nak makan pasaran PKR dan Amanah dan juga DAP yang mana akan menolak Pakatan Harapan, kecewa dengan Pakatan Harapan. Kami nak makan pasaran-pasaran inilah, undi-undi yang mungkin kita akan dapat, insya-Allah dalam Negeri Sembilan khususnya,” katanya dalam Forum Sinar Harian “Berani Semuka”.
Wan Ahmad Fayhsal berkata Parti Wawasan Negara bukan sebuah parti berasaskan kaum Melayu semata-mata, sebaliknya diasaskan atas semangat Perlembagaan Persekutuan dengan keahlian dan kepimpinan yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Parti Wawasan Negara bukan parti Melayu. Parti Wawasan Negara adalah parti yang bercita-ratakan Perlembagaan Malaysia. Komposisi keahlian dan kepimpinan Parti Wawasan Negara adalah pelbagai kaum. Presiden Melayu beragama Islam, timbalan kami Cina, kami ada dua naib presiden Cina, ahli majlis tertinggi pun bercampur, ada Melayu, Cina, India dan Kadazan daripada Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan penubuhan Parti Wawasan Negara tidak akan memecahkan sokongan pengundi Melayu kerana parti itu kekal berada dalam gabungan PN dan berperanan memperkukuhkan gabungan tersebut.
“Penubuhan Parti Wawasan Negara bukan bertujuan untuk memecahkan undi Melayu. Kami berada dalam gabungan Perikatan Nasional. Penubuhan parti ini adalah untuk merangkul lebih banyak undi atas pagar golongan pertengahan yang mungkin di sebelah Pantai Barat khususnya berdepan dengan kesukaran untuk mengundi Perikatan Nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut menjelaskan bahawa penyertaan bekas pemimpin Bersatu ke dalam Parti Wawasan Negara adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan PN.
Beliau berkata pendekatan parti itu adalah bergerak ke arah politik tengah atau centre-right bagi meluaskan penerimaan rakyat terhadap PN, selain menyifatkan Parti Wawasan Negara sebagai parti baharu yang dibarisi ramai tokoh dan veteran politik berpengalaman.
“Ini pertama kali kami bertanding, tetapi parti baharu, orangnya lama. Ramai otai-otai veteran dalam Bersatu yang masuk dalam Wawasan Negara. Jadi kami bersedia berdepan dengan cabaran ini,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.