
KUALA LUMPUR, 27 Okt 25 — Bersatu Bahagian Port Dickson memberi amaran keras kepada kepimpinan parti agar menghentikan budaya “jilat-menjilat” dan politik pujian yang semakin menular dalam parti.
Ketua bahagiannya, Badrul Hisham Saharan, berkata budaya tersebut melemahkan perjuangan asal Bersatu dan menjauhkan parti daripada isu sebenar rakyat.
“Budaya pengampu dan ‘jilat-menjilat’ mesti dihentikan segera. Kepimpinan tertinggi wajar turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat dan menjuarai isu sebenar — bukan sekadar memuji kepimpinan dalam majlis tertutup,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegur kepimpinan negeri dan pusat yang disifatkan pasif dalam menangani isu seperti kenaikan tarif air, penyelewengan GLC serta kos sara hidup rakyat.
Kenyataan beliau pada facebook miliknya turut meletakkan satu rakaman video dipercayai barisan kepimpinan Bersatu Negeri Sembilan yang menyatakan sokongan kepada Presiden. Turut kelihatan dalam rakaman itu, Muhyiddin dan Azmin Ali.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan era Najib Razak yang sarat dengan budaya ‘hidup presiden’. Kini, individu di sekeliling Presiden menggunakan nama beliau hingga menjejaskan imej parti,” tegasnya.
Menurut Badrul, Bersatu mesti kembali kepada perjuangan asal — membela rakyat, memperkukuh integriti, dan menolak politik kepentingan peribadi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.