
SEREMBAN | 31 Julai 26 – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru parti-parti berasaskan Melayu supaya mengetepikan perbezaan politik demi mengelakkan perpecahan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mohamad, yang juga Menteri Luar dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, berkata perpecahan dalam kalangan parti Melayu hanya akan menguntungkan pihak lain, sekali gus menjejaskan kepentingan masyarakat Melayu pada masa hadapan.
Menurut beliau, terdapat keinginan dalam kalangan masyarakat Melayu untuk melihat perpaduan yang lebih kukuh diwujudkan menjelang pilihan raya tersebut.
“Kita tak ada bangsa Johor. Tetapi apa yang saya dapat baca elok-elok ialah adanya alun-alun. Alun-alun yang kecil-kecil. Iaitu alun-alun nak melihat supaya bersatulah orang Melayu. Ketepikanlah segala perselisihan demi masa depan anak cucu kita,” katanya.
Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu hanya akan menyebabkan undi berpecah, sekali gus menyukarkan usaha untuk mencapai kemenangan.
“Kalau kita pergi solo sekarang, kemungkinan kita kecewa lagi sekali. Parti-parti teras Melayu akan bertumbung sesama sendiri. Maka maka pecahlah undi Melayu. Jadi kita akan rugi,” katanya.
Mohamad turut menggesa semua pihak supaya mengenepikan perbezaan yang kecil dan memberikan tumpuan kepada cabaran politik yang lebih besar.
“Mengapa tidak kita ketepikan apa jua perang-perang kecil-kecil ini, perang-perang di sisi-sisi kita ini. Kita hadapi perang yang besar, iaitu pilihan raya, supaya orang Melayu tidak kecewa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu program kempen sempena PRN Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menegaskan bahawa perpaduan itu tidak hanya melibatkan orang Melayu semata-mata, sebaliknya membabitkan kerjasama bersama parti-parti komponen lain seperti MCA, MIC, PPP dan IPF bagi membentuk sebuah gabungan yang lebih kukuh.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan rakyat tidak terus dibelenggu kekeliruan menjelang hari pengundian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.