Gelombang Biru Hebatkan Negeri Sembilan

Kini, seluruh Negeri Sembilan sedang merasai kehangatan dan keterujaan daripada kebangkitan Gelombang Biru (kombinasi warna biru BN dan biru PN). Ia perasaan dan gerakan positif daripada kerjasama politik antara BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Sebelum ini, telah ada usaha-usaha oleh pelbagai pihak untuk mewujudkan kerjasama antara parti-parti politik Melayu, khususnya antara UMNO dan PAS. Usaha-usaha tersebut menggunakan tema tertentu, contohnya ‘muafakat nasional’, ‘payung besar’ dan ‘rumah bangsa’.

Mutakhir ini, dengan tertubuhnya Parti Wawasan Negara yang membawa gagasan Konsensus Nasional Baru dan ingin berperanan sekadar seadanya, iaitu menjadi jambatan antara parti-parti Melayu yang utama, maka usaha-usaha tersebut telah disambung semula dan ditambah nilai.

Gelombang Biru adalah perkembangan lanjut dan praktikal daripada usaha-usaha yang panjang itu.

Gelombang Biru bermula dengan siri perundingan, iaitu dalam BN, dalam PN, dan seterusnya antara BN dan PN.

Perundingan ini meliputi pelbagai perkara, dari pengagihan kerusi hinggalah pembentukan jentera bersama (bilik gerakan, wanita, pemuda, penerangan dll) dan manifesto. Dari atas hingga ke bawah.

Daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, BN bertanding 25 kerusi dan PN bertanding 11. Terdapat calon-calon Melayu dan bukan-Melayu. Bagi PN, daripada 11 calonnya, 7 Melayu dan 4 bukan-Melayu.

Kerjasama Manifesto

Manifesto BN bertajuk “Hebatkan Semula Negeri Sembilan”. Ia meliputi 9 teras, iaitu ekonomi dan pembangunan; taraf hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat; pendidikan, modal insan, belia, wanita dan keusahawanan; pertanian, agro makanan, pembangunan desa dan Felda; kediaman dan perumahan; alam sekitar dan pelancongan; agama, adat budaya, warisan dan masyarakat Orang Asli; sukan, rekreasi dan perpaduan; dan penyampaian perkhidmatan.

Manakala Manifesto PN bertajuk “PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan”. Kunci kerjasama BN-PN ialah perkataan ‘sepakat’, di mana Manifesto PN adalah tambahan kepada Manifesto BN.

Sebagai tambahan, Manifesto PN meliputi 6 teras, iaitu pentadbiran; belia dan sukan; ekonomi; kebajikan; pendidikan; dan pekerjaan.

Pada saya, kerjasama BN-PN ini menepati makna gagasan Konsensus Baru Nasional oleh Presiden Wawasan Negara Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Konsensus tercapai apabila BN-PN pertamanya, ‘bersetuju untuk bersetuju’ atas perkara-perkara fundamental dan pokok, iaitu menjatuhkan kerajaan NS sekarang dan menubuhkan kerajaan NS yang baru; dan keduanya, ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ atas perkara-perkara tambahan dan ranting, iaitu program-program dan cara-cara khusus dalam menjalankan tugas sebagai kerajaan negeri yang baru nanti.

Manifesto bersama pula memberi isyarat akan berlakunya ‘reset’ dalam pentadbiran baru ini. Iaitu, apa yang salah, dibetulkan; apa yang baik, ditambah nilai; apa yang rosak, diganti. Demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau parti politik.

Kunci kerjasama politik ini ialah perundingan. Iaitu kesediaan pimpinan BN dan PN untuk berunding serta seluruh jenteranya untuk berganding. Biduk lalu, kiambang bertaut. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Semoga kebangkitan Gelombang Biru mendapat sokongan rakyat dan dorongan rahmat.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara)

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share