
AMPANG | 6 Ogos 26 – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa tindakan membekukan peruntukan Parlimen Ampang bercanggah dengan semangat reformasi yang selama ini diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan tersebut bukan sahaja menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat, malah memberikan kesan secara langsung kepada golongan yang bergantung kepada bantuan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang.
Menurut Rodziah, pusat khidmat berkenaan tidak lagi dapat mengakses sistem MyKHAS sejak 29 Julai lalu, sekali gus menyebabkan pelbagai program bantuan dan kebajikan tidak dapat dilaksanakan seperti biasa.
“Perlu diingatkan bahawa bukan saya selaku Ahli Parlimen yang bakal terkesan natijah langkah canggung ini, sebaliknya rakyat Ampang yang memerlukan bantuan kecil atau sokongan segera terutama golongan rentan termasuk golongan B40, kanak-kanak, warga emas, OKU, ibu tunggal, belia terutama yang masih menuntut ilmu, pesakit kronik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, rumah ibadat Islam dan bukan Islam serta pelbagai kluster komuniti dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rodziah berkata, tindakan itu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan beliau masih kekal sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak pernah menyertai mana-mana parti lain dan tidak pernah bertindak menentang dasar Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mendakwa terdapat layanan yang berbeza terhadap beberapa ahli politik lain, termasuk enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada kerajaan.
“Lebih aneh lagi, enam Ahli Parlimen pembangkang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus menerima peruntukan kawasan selepas menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, manakala beberapa Ahli Parlimen kerajaan, malah anggota Kabinet sendiri daripada koalisi Barisan Nasional (BN), terutama MCA dan UMNO, bebas dan lantang membuat teguran, malah serangan secara terbuka terhadap Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang impak terhadap peruntukan kawasan, sekali gus memberi persepsi seolah-olah menikmati kekebalan dan keistimewaan politik,” katanya.
Rodziah berkata, tindakan berkenaan juga didakwa bertentangan dengan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Fenomena ini jelas bertentangan dengan salah satu janji dalam Manifesto Pakatan Harapan PRU15 pada muka surat 42 berkait penyaluran Peruntukan Pembangunan Kawasan atau Constituency Development Fund (CDF) secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, melalui institusi Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.
“Janji tersebut bukan sekadar komitmen pilihan raya, malah mencerminkan semangat reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembekuan peruntukan itu tidak akan menghalangnya daripada meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan Parlimen Ampang.
Malah, beliau turut mengumumkan pelancaran “Projek Amal Rakyat”, iaitu sebuah inisiatif yang bertujuan menggerakkan sumbangan daripada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Saya akan terus melaksanakan amanah sebagai Ahli Parlimen Ampang dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti. Saya beri jaminan bahawa saya tidak akan sesekali berundur memperjuangkan hak rakyat dan menjunjung amanah yang diberikan,” katanya.
Sebelum Rodziah mendakwa akses MyKhas disekat, dua wakil rakyat PKR iaitu Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) terlebih dahulu membangkitkan perkara yang sama. Ketiga-tiga mereka mempunyai satu persamaan iaitu dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Rafizi selepas bekas pemimpin PKR itu membentuk wadah politik baharu, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan perkembangan politik dalaman atau sekadar isu pentadbiran. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.