
KUALA LUMPUR | 7 Ogos 26 – Datuk Razali Abu Samah mencipta sejarah apabila menjadi wakil pertama Parti Wawasan Negara yang dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.
ADUN Sikamat itu mengangkat sumpah sebagai EXCO Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dalam barisan pentadbiran baharu kerajaan negeri.
Pelantikan Razali turut mendapat perhatian daripada Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
Dalam ucapan tahniahnya, Wan Saiful berkata beliau yakin Razali mampu menjalankan tugas dengan baik sebagai wakil parti Wawasan dalam pentadbiran negeri.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa, ADUN Serting yang turut dilantik sebagai EXCO dengan portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.
Wan Saiful berharap kedua-dua wakil Perikatan Nasional (PN) itu bersama barisan EXCO lain dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan dedikasi demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
Pelantikan Razali dilihat sebagai perkembangan penting buat Parti Wawasan Negara yang sebelum ini berusaha memperkukuhkan kedudukannya dalam landskap politik Melayu dan kerjasama politik bersama PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.