Wawasan Negara Tambun Sedia Buka Pintu Untuk Faizal Azumu

IPOH | 10 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) Bahagian Tambun sedia membuka pintu kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menyertai parti itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh agenda penyatuan ummah.

Penyelaras Wawasan Negara Bahagian Tambun, Muhammad Fadhli Ismail berkata, bukan sahaja Ahmad Faizal, malah mana-mana bekas pemimpin parti politik yang berminat dengan agenda penyatuan ummah turut dialu-alukan menyertai Wawasan Negara.

“Sehubungan itu, kami membuka seluas-luasnya pintu rumah Wawasan Negara Bahagian Tambun kepada pemimpin-pemimpin Bersatu seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau mana-mana bekas pemimpin parti politik yang berminat ke arah penyatuan ummah.

“Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan keikhlasan. Pemimpin tidak boleh ego dan perlu berjiwa besar kerana penyatuan ummah adalah kunci bagi menyelamatkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Fadhli, pendirian itu selari dengan kenyataan Penyelaras Wawasan Negara Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebelum ini mengenai kesediaan parti menerima bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, Wawasan Negara Bahagian Tambun menyokong penuh seruan ke arah kebaikan dan permuafakatan demi mengukuhkan penyatuan ummah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Wawasan Negara Bahagian Tambun kini aktif menggerakkan pelbagai program bersama rakyat di kawasan Parlimen Tambun.

Katanya, usaha menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi turut menunjukkan perkembangan positif terhadap penerimaan Wawasan Negara.

“Wawasan Negara Bahagian Tambun sedang menggiatkan pelbagai inisiatif bagi menarik minat lebih ramai ahli baharu menyertai parti ini dan turut sama berjuang demi masa depan negara yang lebih gemilang.

“Wawasan Negara adalah jambatan kepada penyatuan ummah dan matlamat yang besar demi masa depan negara yang tercinta,” katanya.

Muhammad Fadhli berkata, usaha penyatuan itu penting bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai musuh sebenar mereka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share