CheguBard Persoal Pengurusan Dana Zakat Pulau Pinang

KUALA LUMPUR | 15 Feb 26 – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, tampil membangkitkan beberapa dakwaan serius melibatkan pengurusan dana zakat dan penggunaan peruntukan agensi berkaitan agama di Pulau Pinang.

Menurut beliau, terdapat isu pemberian hampir RM200,000 wang zakat kepada seorang individu yang didakwa rakan sekolah seorang pemimpin negeri bagi tujuan melangsaikan hutang rumah. Selain itu, Chegubard turut mempersoalkan penggunaan kira-kira RM9.9 juta dana zakat untuk pembelian tanah milik seorang ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang, yang menurutnya telah dilarang oleh pihak Majlis Fatwa sebelum ini.

Beliau mendakwa Timbalan Ketua Menteri I gagal memberikan penjelasan tuntas berhubung perkara tersebut dan mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setakat ini dilihat belum mengambil sebarang tindakan terbuka.

Dalam masa sama, Chegubard turut mempersoalkan penganjuran kejohanan bola sepak “Piala TKM 1” yang didakwa bertujuan menaikkan profil kepimpinan tertentu. Beliau mendakwa masjid-masjid diarahkan menggunakan dana masing-masing bagi menampung kos penganjuran kejohanan tersebut.

Terbaharu, beliau merujuk kepada minit mesyuarat yang didakwa tersebar berkaitan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri TKM 1 pada tahun 2025. Chegubard mempersoalkan sama ada agensi-agensi berkaitan Islam dan Melayu — termasuk institusi yang menerima dana daripada pusat zakat negeri — digunakan bagi membiayai majlis berkenaan.

“Terbaru nak tanya TKM 1 (mohon untuk tag TKM1) ada minit mesyuarat yang tersebar mengenai Rumah Terbuka Aidilfitri TKM1 pada tahun 2025.

“Adakah ini bermaksud duit agensi-agensi berkaitan agama Islam dan Melayu digunakan untuk tanggung rumah terbuka TKM1 ? Katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pelantikan artis jemputan yang dikatakan menerima bayaran sekitar RM30,000 serta mempersoalkan sama ada dana daripada agensi zakat dan institusi berkaitan seperti wakaf digunakan untuk menanggung kos majlis tersebut.

Sehubungan itu, Chegubard menggesa Timbalan Ketua Menteri I tampil memberikan penjelasan segera bagi menjawab segala dakwaan yang dibangkitkan demi memastikan ketelusan dan integriti pengurusan dana awam terus terpelihara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share