
ALOR SETAR | 11 Ogos 26 – Langkawi dianggarkan menyumbang antara RM4 bilion hingga RM8 bilion setahun kepada negara menerusi sektor pelancongan dan aktiviti berkaitan, namun masalah pengangkutan feri ke pulau peranginan itu masih belum menemui penyelesaian tuntas.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu pengangkutan khususnya perkhidmatan feri merupakan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama dan memberi kesan langsung kepada pelancongan domestik.
Menurutnya, masalah utama berpunca daripada pemendapan alur pelayaran yang memerlukan kerja pengerukan dilakukan secara berkala.
“Langkawi memberi pendapatan kepada negara dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor lain antara RM4 bilion hingga RM8 bilion setahun. Bukan kecil, banyak.
“Isu yang berlarutan sekian lama yang orang selalu sebut kerajaan negeri tak buat apa ialah isu pengangkutan Langkawi, feri,” katanya dalam sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.
Sanusi berkata, keadaan air surut dan pemendapan alur pelayaran menyebabkan perkhidmatan feri terpaksa dikurangkan apabila kerja pengerukan tidak dilakukan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu lebih lama dan pengalaman perjalanan yang tidak menentu boleh menjejaskan minat orang ramai untuk berkunjung ke Langkawi.
“Alasan kenapa feri dikurangkan kerana air surut, pengerukan tak dibuat. Maka perjalanan ke Langkawi tersangkut. Orang terpaksa tunggu lama.
“Feri tak tentu. Daripada tiga trip, lima trip. Kadang-kadang waktu low season tiga trip sahaja. Peak season boleh sampai lima, kadang-kadang lapan,” katanya.
Sanusi turut menegaskan bahawa urusan perkhidmatan feri bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya berada di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).
Beliau berkata perkara itu perlu diperjelaskan kerana pelancongan domestik banyak bergantung kepada perkhidmatan feri berbanding pelancong antarabangsa yang mempunyai pilihan menggunakan penerbangan.
Menurutnya, penerbangan ke Langkawi boleh mencapai sehingga 25 penerbangan sehari pada waktu tertentu, manakala kadar penghunian hotel empat dan lima bintang boleh mencecah sekitar 70 peratus.
“Pelancong domestik kebanyakan mereka pergi dengan feri. Kalau antarabangsa, mereka bayangkan flight.
“Flight boleh pergi sampai 25 penerbangan sehari. Penuh 25 flight. Sebab itu hotel-hotel empat bintang, lima bintang penuh. Kadar penghunian sampai 70 peratus.
“Tinggal lagi hotel tiga bintang ke bawah. Ia dihuni oleh pelancong domestik. Pelancong domestik bergantung kepada feri. Bila feri tak baik, pelancongan domestik akan terjejas,” katanya.
Sanusi berkata, isu berkenaan merupakan antara kekangan utama yang membelenggu Langkawi sejak sekian lama dan memerlukan perhatian serius daripada pihak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau meminta supaya tidak dibuat kenyataan yang boleh memberikan gambaran negatif terhadap Langkawi atau membandingkannya secara tidak tepat dengan destinasi pelancongan lain.
Beliau menolak perbandingan Langkawi dengan Phuket dan Krabi dengan alasan kedua-dua destinasi berkenaan mempunyai hubungan darat dengan tanah besar.
“Tak payahlah buat kenyataan-kenyataan yang tidak membangun. Beri rangsangan untuk orang datang dan tidak adil untuk membuat perbandingan orang pergi ke Phuket dengan Langkawi.
“Phuket bersambung tanah besar, Krabi bersambung tanah besar. Boleh pergi dengan motor,” katanya.
Sanusi turut menegaskan Langkawi perlu dikekalkan sebagai destinasi pelancongan lestari yang mempunyai identiti tersendiri serta selari dengan budaya dan adat setempat.
“Kita nak kekalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang lestari, selari dengan budaya dan adat setempat.
“Kita kekalkan Langkawi macam mana Langkawi sekarang ini. Cuma yang kena diselesaikan ialah pengangkutan feri,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.