Perjanjian Mekah: Palestin dan Kelahiran “NATO Islam”?

Perjanjian pertahanan yang menghimpunkan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan bukan sekadar perkembangan baharu dalam percaturan keselamatan Asia Barat. Ia berpotensi menjadi tanda kepada perubahan lebih besar dalam struktur geopolitik rantau tersebut. Tiga negara majoriti Islam dengan kekuatan strategik berbeza kini membina kerjasama berasaskan pertahanan kolektif dan pencegahan bersama.

Perkembangan ini segera melahirkan satu imaginasi geopolitik: adakah dunia sedang menyaksikan kelahiran sebuah “NATO Islam”?

Pertanyaan itu bukan tanpa asas. Arab Saudi mempunyai kekuatan kewangan, sumber tenaga dan kedudukan strategik di Asia Barat. Pakistan mempunyai angkatan tentera yang besar serta kemampuan pencegahan nuklear. Türkiye pula merupakan anggota NATO dengan pengalaman ketenteraan, teknologi dan industri pertahanan yang semakin berkembang.

Apabila ketiga-tiganya digabungkan, terbentuk suatu triad strategik: modal dan tenaga, pencegahan nuklear serta teknologi dan kemampuan ketenteraan.

Namun geopolitik bukan hanya mengenai siapa mempunyai lebih banyak senjata. Ia juga mengenai siapa menentukan makna kepada sesuatu kekuatan.

Di sinilah nama Mekah mempunyai kepentingan tersendiri. Mekah bukan sekadar lokasi geografi. Dalam imaginasi umat Islam, Mekah ialah pusat spiritual, simbol kesatuan umat dan penanda penting peradaban Islam. Apabila sebuah perjanjian pertahanan antara tiga kuasa dunia Islam dikaitkan dengan Mekah, ia memperoleh konotasi yang melampaui teks ketenteraannya.

Mekah menandakan kesatuan. Pertahanan kolektif menandakan solidariti. Namun kedua-duanya membawa satu pertanyaan: solidariti untuk siapa dan keselamatan daripada siapa?

Istilah “NATO Islam” kerana itu menarik, tetapi perlu digunakan dengan berhati-hati. NATO mempunyai struktur komando, institusi, doktrin dan integrasi ketenteraan yang dibangunkan selama beberapa dekad. Perjanjian Mekah belum mempunyai kedalaman institusi sedemikian. “NATO Islam” lebih tepat dianggap sebagai metafora geopolitik daripada sebuah realiti institusi yang telah lengkap.

Namun metafora mempunyai kuasa. Sebaik sahaja istilah “NATO Islam” digunakan, persoalan berikutnya hampir tidak dapat dielakkan: siapakah musuhnya?

Iran segera muncul dalam naratif tersebut.

Konflik Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel serta persaingan kuasa di Asia Barat menjadikan mudah untuk membingkaikan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan sebagai blok untuk mengimbangi Tehran. Lebih-lebih lagi apabila kerjasama tersebut digambarkan sebagai “rekayasa keselamatan Ahli Sunnah Wal Jamaah (AWSJ)”. Apabila AWSJ dijadikan penanda kepada pakatan, Iran yang majoriti Syiah hampir secara automatik ditempatkan sebagai “yang lain”.

Namun Iran mungkin menjadi salah satu faktor strategik tanpa semestinya menjadi keseluruhan sebab kewujudan perjanjian tersebut. Türkiye mempunyai hubungan kerjasama dan persaingan dengan Tehran. Pakistan berkongsi sempadan dengan Iran, sementara Arab Saudi sendiri mempunyai kepentingan mengekalkan saluran diplomatik dengannya.

Menyempitkan Perjanjian Mekah kepada “pakatan anti-Iran” boleh menutup perubahan struktur yang lebih besar.

Namun terdapat satu persoalan yang lebih sukar sekiranya istilah “NATO Islam” mahu diberikan makna: di manakah Palestin?

Palestin boleh menjadi paksi moral-semiotik Perjanjian Mekah.

Ia menjadi paksi moral kerana Palestin menguji sejauh mana solidariti keselamatan dapat diterjemahkan kepada persoalan keadilan dan keselamatan manusia. Ia menjadi paksi semiotik kerana Palestin menentukan sama ada simbol Mekah dan imaginasi “NATO Islam” mempunyai kandungan substantif atau sekadar menjadi tanda yang kuat tetapi miskin tindakan.

Secara formal, Palestin bukan anggota perjanjian dan tidak memperoleh jaminan pertahanan kolektif secara automatik. Namun jika sebuah struktur yang dikaitkan dengan Mekah mampu membina mekanisme pertahanan untuk negara anggotanya tetapi tidak menghasilkan daya tawar kolektif yang lebih berkesan terhadap Palestin, istilah “NATO Islam” mungkin menjadi lebih besar pada simbolnya daripada substansinya. Begitu juga bagaimana jika India menyerang Pakistan atau Israel menyerang Turkish?

Ini tidak bermaksud keberkesanan perjanjian mesti diukur melalui peperangan dengan Israel. Kuasa strategik bukan hanya kemampuan menggunakan kekerasan.

Kuasa juga ialah kemampuan menggerakkan diplomasi bersama, menggunakan pengaruh ekonomi, membantu pembinaan semula, melindungi orang awam, membentuk pendapat antarabangsa dan meningkatkan daya tawar dalam institusi antarabangsa.

Arab Saudi mempunyai modal dan pengaruh ekonomi. Türkiye mempunyai kedudukan geopolitik dan jaringan hubungan yang luas. Pakistan pula mempunyai kemampuan strategik serta hubungan rapat dengan China. Persoalannya ialah sama ada kekuatan berasingan itu dapat diterjemahkan kepada daya tawar kolektif.

Jika Palestin menguji makna Perjanjian Mekah, Amerika Syarikat pula menguji autonominya.

Adakah pakatan ini sebenarnya sekadar proksi Amerika?

Kesimpulan sedemikian terlalu mudah. Memang terdapat kepentingan Washington yang boleh mendapat manfaat. Jika negara-negara tersebut mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap keselamatan sendiri dan pada masa yang sama meningkatkan kemampuan mengimbangi Iran, Amerika dapat mengurangkan sebahagian tanggungan keselamatannya di Asia Barat.

Namun keselarasan kepentingan tidak semestinya bermaksud hubungan proksi.

Malah terdapat paradoks bagi Washington. Amerika mungkin mahu sekutunya lebih kuat, tetapi tidak semestinya mahu mereka menjadi terlalu autonomi.

Jika Perjanjian Mekah akhirnya membolehkan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan membina kemampuan membuat keputusan keselamatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada Washington, ia boleh mengurangkan pengaruh strategik Amerika. Perjanjian yang menguntungkan Amerika hari ini dengan itu berpotensi menjadi sebahagian daripada proses autonomi strategik dunia Islam pada masa hadapan.

Di sinilah persoalan sebenar terletak: adakah Perjanjian Mekah memperluaskan rekayasa keselamatan yang selama ini dipimpin Amerika, atau mula membina alternatif kepadanya?

Jawapannya belum jelas.

Bagi Malaysia, ketidakpastian tersebut bukan alasan untuk menjadi pemerhati pasif.

Malaysia mempunyai kepentingan langsung terhadap kestabilan Asia Barat. Pergolakan di Teluk dan gangguan laluan tenaga boleh memberi kesan kepada harga tenaga, perdagangan, inflasi dan rantaian bekalan negara.

Pada masa yang sama, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan. Jika kerjasama tiga negara itu berkembang kepada industri pertahanan, dron, kecerdasan buatan, keselamatan siber, satelit dan teknologi strategik, terdapat ruang yang boleh dimanfaatkan Malaysia melalui kerjasama teknologi, penyelidikan, latihan dan pembangunan industri pertahanan tempatan.

Namun Malaysia tidak perlu menjadi anggota sesuatu pakatan untuk memperoleh manfaat daripadanya.

Malah, kekuatan Malaysia mungkin terletak pada kemampuannya mengekalkan autonomi strategik. Kuala Lumpur boleh memperkukuh hubungan dengan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan tanpa menjadikan Iran sebagai musuh; bekerjasama dengan Amerika tanpa menjadi proksi Washington; serta memperluaskan hubungan dengan China dan dunia Islam tanpa mengorbankan ASEAN sebagai lingkungan strategik utamanya.

Dalam dunia multipolar, kemampuan tidak terperangkap dalam satu blok merupakan suatu bentuk kuasa.

Akhirnya, mungkin persoalan sebenar bukan sama ada sebuah “NATO Islam” sedang lahir di Mekah.

Persoalannya ialah apakah jenis keselamatan yang mahu dibangunkan oleh dunia Islam.

Jika Perjanjian Mekah akhirnya memerlukan Iran sebagai musuh untuk memberikan identiti kepadanya, dunia Islam hanya akan menghasilkan satu lagi geopolitik blok. Jika ia sekadar memperpanjang strategi Washington, autonominya juga boleh dipersoalkan.

Namun jika ia mampu meningkatkan kemampuan negara-negara Islam menentukan keselamatan mereka sendiri, membina daya tawar terhadap Palestin dan membuka ruang kerjasama strategik kepada negara seperti Malaysia tanpa mencipta permusuhan baharu, maknanya akan menjadi jauh lebih besar daripada sebuah “NATO Islam”.

Palestin menguji maknanya. Amerika menguji autonominya. Malaysia menguji relevansinya Dan Mekah memberikan ketiga-tiga persoalan itu sebuah simbol yang tidak kecil maknanya.

Oleh Ismail Hashim Yahaya ; Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perpspektif semiotik dan naratif

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

GLIC, GLC Wajib Proaktif

Saya akui yang GLIC dan GLC telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan dalam sektor korporat kepada Bumiputera. Tetapi sumbangan ini boleh diperbesarkan jika GLIC dan GLC mengambil peranan proaktif dalam syarikat swasta yang mereka mempunyai pegangan saham.
Read More
Total
0
Share