BERSATU, Cermin Dah Ada. Masih Mahu Salahkan PN?

Kebelakangan ini, pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) begitu lantang mempersoalkan kedudukan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah PN telah membuat keputusan untuk menyingkirkan mereka.

Pada hakikatnya, soal keahlian BERSATU tidak pernah pun dibincangkan atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat penuh kepimpinan tertinggi PN. Secara formal, BERSATU masih merupakan anggota PN. Setakat ini, belum ada keputusan rasmi Majlis Tertinggi PN yang menamatkan keahliannya.

BERSATU juga perlu bertanya mengapa hubungan mereka dengan rakan-rakan dalam PN sampai ke tahap sekarang. Dalam rundingan kerusi Johor, tidak timbul masalah besar mengenai penyertaan BERSATU.

Mereka diperuntukkan 16 kerusi berbanding PAS 11 kerusi. Ruang yang cukup besar telah diberikan untuk membuktikan kekuatan parti. Tetapi akhirnya BERSATU tewas di kesemua 16 kerusi yang ditandingi dan 10 calon kehilangan deposit. Apabila keputusan rakyat sudah begitu jelas, muhasabah sepatutnya bermula daripada prestasi sendiri.

Begitu juga di Negeri Sembilan. BERSATU bukan diketepikan daripada awal. Mereka terlibat dalam rundingan kerusi dan wakil mereka turut berada di meja perundingan. Malah apabila BERSATU hadir dengan tiga wakil walaupun keputusan mesyuarat tertinggi PN menetapkan dua wakil bagi setiap parti, kesemua mereka tetap dibenarkan menyertai mesyuarat.

Apabila dimaklumkan terdapat perbincangan politik antara PAS dan UMNO, wakil BERSATU sendiri meminta rundingan ditangguhkan bagi membolehkan mereka merujuk kepimpinan parti. Permintaan itu diterima.

Keadaan hanya berubah apabila timbul persoalan mengenai kesahihan korum Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Dan perkara ini perlu disebut dengan jelas: persoalan tersebut bukan dibangkitkan oleh PAS atau PN. Ia dibawa kepada ROS oleh Ahli-Ahli Parlimen BERSATU sendiri selepas beberapa pemecatan, penggantungan dan kekosongan dalam kepimpinan tertinggi parti.

Maka sebelum menuduh pihak luar mempunyai agenda terhadap BERSATU, parti itu perlu bertanya mengapa pemimpinnya sendiri merasakan perkara tersebut perlu dirujuk kepada ROS.

Susulan persoalan itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menulis kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meminta penjelasan mengenai kedudukan tersebut. Ini suatu langkah pentadbiran yang munasabah.

Apabila kesahihan badan tertinggi sesebuah parti sedang dipersoalkan, PN tentunya perlu mendapatkan kepastian sebelum meneruskan urusan rasmi yang melibatkan keputusan parti berkenaan.

Namun sehingga tiba masa untuk mesyuarat rundingan berikutnya diadakan, penjelasan yang diminta itu masih belum diterima oleh PN.

Dalam keadaan itu, BERSATU tidak dipanggil ke mesyuarat rundingan kerusi berikutnya. Tetapi ia tidak harus disalahertikan sebagai bukti bahawa BERSATU telah dibuang daripada PN. Mesyuarat tersebut bukan mesyuarat untuk menentukan status keahlian BERSATU dan bukan keputusan rasmi untuk menyingkirkan mereka.

BERSATU kemudiannya memilih jalannya sendiri dengan bertanding 24 kerusi di Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri. Hasilnya, tidak satu pun kerusi berjaya dimenangi, malah 23 daripada 24 calonnya kehilangan deposit.

Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa BERSATU telah “gugur secara automatik” juga perlu dilihat dalam konteks politik dan moral, bukan sebagai keputusan rasmi PN. BERSATU sendiri beberapa kali menyatakan kemungkinan membentuk jajaran baharu dan kemudian memilih untuk bertanding secara berasingan, termasuk bertanding di kerusi yang turut melibatkan calon daripada PN atau rakan dalam kerjasama politik PN-BN.

Jika sebuah parti bercakap tentang jajaran lain dan kemudian bertanding menentang rakan sendiri, adalah munasabah apabila komitmennya kepada gabungan mula dipersoalkan.

Sebab itu agak pelik apabila BERSATU kini membangkitkan soal kuasa veto Presiden PAS dan membawa pertikaian ini kepada ROS. Persoalannya mudah: veto terhadap keputusan yang mana?

Setakat ini, tidak ada keputusan rasmi Majlis Tertinggi PN pun yang memecat BERSATU. Pandangan politik seorang Presiden parti tidak dengan sendirinya menjadi keputusan rasmi sebuah gabungan.

Muhasabah BERSATU sepatutnya bermula dengan beberapa soalan yang lebih penting. Mengapa Ahli Parlimennya sendiri mempersoalkan korum kepimpinan parti? Mengapa penjelasan yang diminta PN masih belum diterima ketika rundingan hendak diteruskan?

Mengapa kesemua 16 kerusi yang ditandingi di Johor kalah? Mengapa 24 kerusi yang ditandingi di Negeri Sembilan juga gagal menghasilkan satu kemenangan? Dan mengapa hubungan dengan rakan-rakan politik semakin sukar?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini lauh lebih penting daripada mencari siapa yang hendak dipersalahkan dan juga untuk melakar masa depan parti.

BERSATU juga perlu memahami bahawa menjadi anggota sesuatu gabungan dan menjadi parti yang relevan dalam gabungan itu adalah dua perkara berbeza. Keahlian mungkin ditentukan oleh perlembagaan dan prosedur, tetapi relevansi politik ditentukan oleh kekuatan di lapangan, keupayaan memenangi kerusi, keyakinan rakan-rakan dan sokongan pengundi.

Inilah persoalan yang sepatutnya lebih membimbangkan BERSATU hari ini.

BERSATU perlu menerima bahawa politik tidak boleh dibina dengan sentiasa mencari musuh di luar apabila masalah di dalam rumah sendiri belum diselesaikan. Sebelum menuduh PN, PAS atau mana-mana pihak cuba meminggirkan BERSATU, lihat dahulu ke dalam cermin. Muhasabah kepimpinan, perbaiki organisasi, nilai kembali strategi dan dengarlah mesej yang telah disampaikan oleh pengundi.

Jangan sampai BERSATU terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga setiap persoalan yang lahir daripada masalah dalamannya dianggap sebagai konspirasi pihak luar. Keahlian dalam sesuatu gabungan mungkin boleh dipertahankan melalui perlembagaan dan prosedur, tetapi relevansi politik tidak boleh dituntut melalui surat, aduan atau kenyataan media.

Ia mesti diperoleh melalui kepercayaan rakan, kekuatan organisasi dan, akhirnya, sokongan rakyat.

Dalam politik, bukan siapa yang paling kuat membuat tuduhan yang menentukan relevansi sebuah parti, tetapi siapa yang masih mendapat kepercayaan rakyat.

Dr Armin Baniaz Pahamin, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share