Hamzah, PAS Dan Penyatuan Kuasa Politik Baharu

Dunia politik memang dinamik, ada masanya sesuatu gerakan bermula dengan gegak-gempita. Ada juga masanya ia bermula dengan senyap, perlahan dan hampir tidak disedari. Namun seperti kata ahli strategi China, Sun Tzu dalam buku ‘The Art of War’, “Opportunities multiply as they are seized.” Peluang akan berkembang apabila ia berjaya dimanfaatkan.

Barangkali itulah yang sedang berlaku kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Ketika sebahagian pihak sibuk mempersendakan kedudukannya selepas berpisah dengan Bersatu, Hamzah kelihatan memilih jalan yang berbeza. Beliau tidak terlalu ghairah menjawab setiap serangan. Tidak juga tergesa-gesa mengumumkan parti baharu.

Sebaliknya beliau memberi tumpuan kepada sesuatu yang lebih penting dalam politik: membina jaringan, memperkukuh persefahaman dan mencari sekutu strategik.

Politik Bukan Tentang Siapa Kuat Pukul Gendang

Dalam dunia politik moden, ramai menyangka siapa paling kuat bersuara akan menang.  Hakikatnya tidak semestinya begitu.

Niccolò Machiavelli dalam bukunya, ‘The Prince’ pernah menulis bahawa kuasa politik bukan hanya dibina melalui populariti, tetapi melalui kemampuan membentuk pakatan yang mampu bertahan ketika ribut melanda.

Sejarah politik Malaysia sendiri membuktikan perkara yang sama.  Beberapa parti politik pernah mencipta dan meninggalkan sejarah dalam kronologi pemerintahan di Malaysia:

1.  Barisan Nasional pernah bertahan lebih enam dekad kerana formula gabungan.  

2. Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada 2018 kerana formula gabungan.

3.  Perikatan Nasional pula muncul sebagai kuasa besar selepas 2020 kerana formula gabungan.

Pendek kata, dalam politik Malaysia, satu parti boleh menang pilihan raya kecil, tetapi gabungan mampu mengubah landskap negara.

Justeru apabila Hamzah secara terbuka menyatakan hubungan erat dengan PAS akan dimanfaatkan dalam menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, mesej yang cuba dihantar sebenarnya jauh lebih besar daripada sekadar kerjasama pilihan raya.

Ia adalah mesej tentang pembentukan semula kekuatan politik Melayu-Islam yang sedang mencari bentuk baharu.

PRN Johor: Medan Ujian Pertama

Tidak keterlaluan jika dikatakan Johor kini menjadi makmal politik paling penting di Malaysia. Mari kita lihat keupayaan tadbiran dan perkembangan ekonomi Johor:

Johor bukan negeri biasa. Johor mempunyai lebih 2.8 juta pengundi berdaftar. Johor juga sering dianggap kubu tradisi UMNO sejak sekian lama.

PRN Johor kali ini berlaku dalam suasana politik yang jauh berbeza. Kos sara hidup meningkat. Harga rumah terus menjadi isu. Anak muda berdepan tekanan tiada pekerjaan. Ribuan rakyat Johor masih berulang-alik ke Singapura setiap hari mencari pendapatan lebih baik.  

Dalam keadaan sebegini, pengundi bukan lagi sekadar menilai lambang parti.  Mereka menilai siapa yang mampu menawarkan harapan. Siapa yang mampu membawa perubahan.  Dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Mengapa PAS Menjadi Pilihan Strategik?

Pada PRU15, PAS muncul parti yang memenangi kerusi Parlimen paling banyak di Malaysia dengan 43 kerusi. Ia satu pencapaian yang belum pernah berlaku dalam sejarah parti itu.

PAS juga mempunyai jentera akar umbi yang sangat tersusun. Di setiap ceruk rantau negeri Johor, jentera parti PAS wujud dan sentiasa bersiap siaga; jentera kecil, sederhana atau besar, mereka tetap bekerjasama dengan sekutu yang sehaluan. Bak kata bidalan Melayu, “Kalau hendak menebang pokok besar, carilah kapak yang tajam.”

Politik Penyatuan atau Politik Perpecahan?

Menariknya, Hamzah tidak bercakap soal penyatuan Melayu semata-mata. Beliau turut menyebut tentang keperluan menghubungkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk bukan Melayu.

Ini penting. Kerana realiti Malaysia bukan hanya terdiri daripada satu kaum. Samuel Huntington dalam ‘Political Order in Changing Societies’ menegaskan bahawa kestabilan sesebuah negara bergantung kepada kemampuan institusinya menyatukan kepelbagaian masyarakat.

Dalam bahasa yang lebih mudah, negara yang kuat bukan negara yang rakyatnya seragam. Tetapi negara yang rakyatnya mampu bergerak ke arah tujuan yang sama walaupun berbeza latar belakang.

Di sinilah cabaran terbesar Hamzah.  Beliau perlu membuktikan bahawa gagasan penyatuan yang dibawa bukan eksklusif untuk satu kelompok sahaja. Sebaliknya inklusif, terbuka dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Kerana rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi hanya bertanya siapa kawan dan siapa lawan. Mereka bertanya, “Jika parti A, B atau C menang, apakah manfaatnya kepada kehidupan saya dan keluarga?”

Menjelang PRN: Pertarungan Naratif

George Orwell pernah menulis, “In a time of universal deceit, telling the truth is a revolutionary act.” Waspada, dalam politik hari ini, rakyat semakin sukar mempercayai slogan atau wajah ‘Poster Boy’.  Acapkali mereka muak dan meluat kerana disogok umpan yang sama setiap lima tahun. Apakah tiada sesuatu yang luar biasa?

Tuntutan dari luar kotak. Mereka mahu rekod. Mereka mahu pelan tindakan. Mereka mahu penyelesaian.

Justeru, mana-mana parti politik yang telah bersedia dengan ‘formula politik’ yang ampuh dan mungkin magis, wajar meneliti persoalan berikut:

●  Johor memerlukan jawapan kepada persoalan kos hidup.

●  Negeri Sembilan memerlukan jawapan kepada persoalan peluang ekonomi.

●  Golongan muda mahu jawapan tentang pekerjaan dan perumahan.

●  Penjawat awam mahu jawapan tentang kebajikan.

●  Petani dan nelayan mahu jawapan tentang kelangsungan hidup.

Mana-mana gabungan politik mesti mempunyai alternatif untuk menutup sebarang ruang lompang persoalan permasalahan dengan yakin dan profesional.

Menunggu Langkah Seterusnya Hamzah

Buat masa ini, Hamzah masih belum mengumumkan parti baharunya.  Namun seperti kata pepatah Melayu,  “Buah yang masak tidak gugur sekaligus.”

Politik juga begitu. Kadangkala yang paling penting bukan siapa bergerak paling pantas. Tidak perlu tangkas dan pantas, tetapi siapa bergerak pada waktu yang tepat.

Apa yang pasti, kenyataan beliau mengenai kerjasama dengan PAS memberi petunjuk bahawa satu susunan politik baharu sedang dibina.  Mungkin kecil hari ini.  Mungkin masih di peringkat perbincangan.

Tetapi sejarah sering menunjukkan bahawa perubahan besar bermula daripada langkah kecil yang dilakukan secara konsisten.

Mungkinkah Sejarah Baharu Ditulis?

Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, mata politik Malaysia akan tertumpu kepada Johor dan Negeri Sembilan. Dan mungkin, sejarah baharu sedang mula ditulis semula dari situ.                     

Tamat

Oleh: Ramlee Wahab – Sri Gading

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Musibah, Bala dan Bencana

Adalah amat tidak baik, malah berbahaya, membiarkan pergeseran di kalangan Raja-raja dan antara Raja-raja dengan politik serta institusi negara berterusan.
Read More
Total
0
Share