
SUNGAI PETANI | 18 Ogos 26 — Bukan seorang atau dua pemimpin, tetapi 23 Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Sungai Petani bersama 21 ketua cawangan memilih untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, dalam perkembangan yang memperlihatkan tekanan akar umbi terhadap hala tuju parti semakin terbuka.
Ketua BERSATU Bahagian Sungai Petani, Nik Fazli Nik Fathil, turut melepaskan tiga jawatan yang disandangnya, iaitu Ketua Bahagian Sungai Petani, Bendahari BERSATU Negeri Kedah dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya BERSATU Negeri Kedah.
Nik Fazli berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa parti, suara akar umbi dan perkembangan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Keputusan ini dibuat setelah melalui pertimbangan yang mendalam serta mengambil kira keadaan semasa parti, suara akar umbi dan perkembangan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.
Beliau menegaskan tindakan itu bukan dibuat secara terburu-buru atau atas kepentingan peribadi, sebaliknya berpunca daripada pertimbangan prinsip dan rasa tanggungjawab terhadap perjuangan yang selama ini didukung.
“Keputusan ini dibuat bukan secara terburu-buru, bukan kerana kepentingan peribadi dan bukan juga kerana tekanan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia lahir daripada satu pertimbangan prinsip serta rasa tanggungjawab dan perjuangan yang selama ini kami dukung,” katanya.
Namun, alasan paling jelas dikemukakan Nik Fazli ialah wujudnya kekecewaan dan persoalan yang semakin besar di peringkat akar umbi terhadap hala tuju BERSATU ketika ini.
“Saya tidak boleh menafikan bahawa terdapat kekecewaan dan persoalan yang semakin besar di peringkat akar umbi terhadap hala tuju, pendekatan serta pengurusan parti pada masa ini,” katanya.
Menurut beliau, suara akar umbi yang semakin kuat meminta perubahan, penilaian semula dan pembaharuan kepimpinan tidak seharusnya dipandang ringan.
“Apabila suara tersebut semakin kuat meminta perubahan, penilaian semula dan pembaharuan kepimpinan, suara itu tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya.
Nik Fazli turut memberi amaran bahawa parti yang mahu kekal relevan tidak boleh hanya bersandar kepada pencapaian masa lalu.
“Saya percaya sebuah parti yang mahu terus relevan tidak boleh hidup hanya dengan nostalgia kejayaan masa lalu. Parti perlu berani melakukan muhasabah, pembaharuan dan perubahan jika mahu kembali memperoleh keyakinan rakyat,” katanya.
Perkembangan di Sungai Petani itu sekali gus menjadikan peletakan jawatan beramai-ramai tersebut lebih daripada sekadar pertukaran kepimpinan bahagian apabila ia turut melibatkan puluhan pemimpin di peringkat cawangan.
Keseluruhannya, 44 pemimpin bahagian dan cawangan terlibat dalam tindakan berkenaan, dengan Nik Fazli turut mengosongkan dua jawatan pentingnya di peringkat BERSATU Kedah.
Nik Fazli bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan BERSATU Malaysia dan BERSATU Negeri Kedah atas peluang serta kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang mengetuai BERSATU Bahagian Sungai Petani. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.