Tuntut Peruntukan Sama Rata: DAP Mula Sedia ‘Payung’ Jadi Pembangkang – Naib Presiden Wawasan

KUALA LUMPUR | 19 Ogos 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tuntutan DAP supaya peruntukan diberikan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen sebagai “wayang” dan persediaan menghadapi kemungkinan parti itu menjadi pembangkang selepas PRU16.

Wan Saiful berkata, tuntutan itu pada asasnya merupakan perkara yang baik, namun mempersoalkan mengapa DAP hanya membangkitkannya ketika tempoh penggal Parlimen semakin hampir berakhir.

“Tiba-tiba saja dia menuntut secara terbuka peruntukan sama rata untuk semua MP.

“Tuntutan ini adalah perkara yang baik. Tapi ia wayang saja, sebab kalau DAP serius kenapa tak tuntut dari awal?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, DAP tidak wajar mendakwa memperjuangkan hak semua wakil rakyat sedangkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) didakwa dinafikan peruntukan sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran kerajaan ketika ini.

“Dah dekat hujung penggal baru nak berlakon seolah-olah mereka peduli. Padahal sudah lebih tiga tahun mereka zalim dan menafikan hak peruntukan daripada kami wakil rakyat PN,” katanya.

Wan Saiful mendakwa tuntutan DAP itu sebenarnya didorong kebimbangan kemungkinan parti berkenaan kembali menjadi pembangkang selepas PRU16.

Katanya, cadangan supaya satu akta diwujudkan bagi menjamin peruntukan kepada semua Ahli Parlimen dilihat sebagai “safety net” sekiranya DAP kehilangan kuasa.

“Sebenarnya mereka hanya nak sediakan ‘safety net’ untuk diri sendiri sahaja.

“Dengan akta yang mereka tuntut ini, mereka rasa mereka boleh terus belanjakan wang negara selepas hilang kerajaan dan jadi pembangkang nanti,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan DAP dalam memperjuangkan isu berkenaan dengan mendakwa tuntutan itu lebih berkaitan kepentingan politik parti berkenaan berbanding kepentingan rakyat.

“Mereka bukan fikir mengenai rakyat. Tapi mereka fikir tembolok sendiri sahaja,” katanya.

Wan Saiful berkata, pendirian DAP mengenai peruntukan Ahli Parlimen sepatutnya dinilai berdasarkan konsistensi, bukannya hanya apabila kedudukan politik parti mula berdepan kemungkinan berubah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo menggesa Perdana Menteri supaya memastikan peruntukan diberikan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira sama ada mereka daripada kerajaan atau pembangkang, selain mencadangkan supaya satu undang-undang digubal bagi menjamin prinsip itu kekal. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share