
KUALA LUMPUR | 20 Ogos 26 – Ahli Parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee menggesa kerajaan menginstitusikan mekanisme penyaluran peruntukan kepada semua Ahli Parlimen melalui satu Rang Undang-Undang (RUU).
Beliau berkata, isu peruntukan Ahli Parlimen bukan perkara baharu dan Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional telah membangkitkan tuntutan supaya peruntukan disalurkan secara adil sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, peruntukan kawasan Parlimen merupakan wang rakyat dan tidak seharusnya bergantung kepada budi bicara kerajaan atau kepentingan politik.
“Peruntukan kepada kawasan Parlimen bukanlah milik peribadi seseorang Ahli Parlimen. Ia adalah wang rakyat yang mesti digunakan untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronald turut menyambut baik pendirian beberapa Ahli Parlimen DAP daripada kerajaan, termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan.
Katanya, apabila tuntutan sama kini datang daripada Ahli Parlimen kerajaan sendiri, kerajaan tidak lagi boleh menganggap isu tersebut hanya dibangkitkan pembangkang.
Beliau berkata, mekanisme pemberian peruntukan perlu jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau kedudukan politik.
Ronald turut menyeru Ahli Parlimen kerajaan daripada PKR dan PAN supaya menyatakan pendirian secara terbuka berhubung perkara itu.
“Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik. Institusikan mekanismenya melalui undang-undang supaya keadilan tidak bergantung kepada siapa yang menjadi kerajaan dan siapa yang menjadi pembangkang,” katanya. @politiko,my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.