Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera mungkin kelihatan sebagai pengulangan pendirian lama Malaysia terhadap dasar Satu China.
Namun apabila beliau menyatakan bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada China dan mempertahankan prinsip bahawa sesebuah negara mempunyai hak mempertahankan keutuhan wilayahnya, kenyataan itu segera membawa Malaysia ke tengah-tengah salah satu pertikaian geopolitik paling sensitif di Indo-Pasifik.
Pendirian Anwar terhadap Dasar Satu China sebenarnya bukan sesuatu yang baharu dalam dasar luar Malaysia. Sejak hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China diwujudkan pada 1974 di bawah Tun Abdul Razak, Malaysia secara konsisten berpegang kepada Dasar Satu China. Pentadbiran silih berganti tidak mengubah asas tersebut.
Oleh itu, kontroversi semasa bukanlah kerana Anwar tiba-tiba membawa Malaysia lebih dekat kepada Beijing tetapi kerana beliau membawa prinsip lama itu ke medan yang lebih sensitif — persoalan sama ada integriti wilayah boleh dipertahankan melalui penggunaan kekuatan.
Walaupun Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China dan berpegang kepada Dasar Satu China tetapi pada masa yang sama mengekalkan hubungan ekonomi, perdagangan , pendidikan dan hubungan tidak rasmi yang penting dengan Taiwan.
Kedudukan ini memperlihatkan bahawa hubungan Malaysia dengan kedua-dua pihak tidak boleh dibaca semata-mata melalui dikotomi pengiktirafan diplomatik.
Namun reaksi Taiwan memperlihatkan bahawa perkara ini bukan lagi sekadar soal bahasa diplomatik. Taipei melihat kenyataan Anwar sebagai melangkaui pengiktirafan diplomatik terhadap Beijing. Persoalannya kemudian bukan semata-mata sama ada Malaysia menerima dasar Satu China — dasar yang telah lama menjadi asas hubungan Kuala Lumpur-Beijing — tetapi sejauh manakah prinsip tersebut boleh digunakan untuk membenarkan tindakan mempertahankan integriti wilayah termasuk kemungkinan penggunaan kekuatan.
Di sinilah munculnya dilema kedaulatan.
Dalam sistem antarabangsa moden, kedaulatan negara dan integriti wilayah merupakan prinsip penting. Negara tidak boleh sewenang-wenangnya dipecahkan melalui campur tangan luar. Dari perspektif inilah pendirian Anwar mempunyai logiknya. Jika Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China dan berpegang kepada dasar Satu China, maka persoalan Taiwan tidak boleh dipisahkan sepenuhnya daripada persoalan integriti wilayah China.
Anwar membawa logik tersebut lebih jauh apabila menggunakan Malaysia sebagai analogi. Sekiranya sebahagian daripada wilayah Malaysia mahu memisahkan diri, adakah kerajaan Persekutuan akan sekadar berdiam diri? Sebagai ketua kerajaan, katanya, beliau mempunyai tanggungjawab mempertahankan keutuhan negara.
Analogi itu kuat dari sudut retorik kerana ia mengubah persoalan Taiwan daripada sesuatu yang jauh kepada persoalan yang boleh dibayangkan dalam konteks sebuah negara berdaulat.
Namun Taiwan bukanlah sekadar persoalan sebuah wilayah yang mahu meninggalkan sebuah negara dalam pengertian biasa. Taiwan mempunyai pemerintahan, sistem politik, angkatan tentera, ekonomi dan institusi sendiri serta sejarah politik yang kompleks. Sebahagian besar penduduknya juga membesar dalam realiti politik yang terpisah daripada pemerintahan Beijing.
Oleh itu terdapat dua konsep kedaulatan yang bertembung.
Konsep yang pertama ialah kedaulatan negara — hak negara mempertahankan integriti wilayahnya. Manakala yang kedua ialah kedaulatan rakyat — persoalan mengenai sejauh mana sesebuah masyarakat berhak menentukan masa depan politiknya sendiri.
Beijing menekankan prinsip pertama. Taiwan semakin melihat dirinya melalui realiti politik kedua. Di antara kedua-duanya terdapat sebuah Selat Taiwan yang bukan sahaja memisahkan dua wilayah malah boleh menjadi salah satu garis geopolitik paling berbahaya di dunia.
Persoalan menjadi lebih rumit apabila Amerika Syarikat (AS)memasuki persamaan tersebut.
Washington secara rasmi mengiktiraf Republik Rakyat China dan mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Taiwan. Pada masa yang sama, Amerika terus membekalkan senjata kepada Taiwan dan mengekalkan ketidakjelasan strategik mengenai bagaimana ia akan bertindak sekiranya konflik tercetus.
Maka Taiwan bukan lagi sekadar persoalan hubungan Beijing-Taipei. Ia menjadi sebahagian daripada persaingan strategik China-AS.
Di sinilah kenyataan Anwar perlu dibaca dalam kerangka dasar luar Malaysia yang lebih luas.
Malaysia tidak mempunyai kepentingan untuk menjadikan dirinya sebahagian daripada strategi membendung China. China ialah salah sebuah rakan ekonomi terpenting Malaysia. Hubungan perdagangan, pelaburan dan diplomatik kedua-dua negara semakin mendalam. Pada masa yang sama,
Malaysia juga mempunyai hubungan ekonomi dan keselamatan yang penting dengan Amerika Syarikat, selain Jepun, Korea Selatan, Kesatuan Eropah dan negara-negara ASEAN.
Malaysia juga mempunyai kepentingannya sendiri di Laut China Selatan yang tidak semestinya selari dengan Beijing.
Maka dasar luar Malaysia tidak boleh dibina melalui pilihan mudah: China atau Amerika.
Inilah realiti dunia multipolar.
Bagi negara seperti Malaysia, multipolariti seharusnya bermaksud mempunyai ruang strategik untuk bekerjasama dengan pelbagai kuasa tanpa menjadi satelit kepada mana-mana daripadanya.
Malaysia boleh mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan China tanpa menerima semua tindakan Beijing. Malaysia juga boleh bekerjasama dengan Amerika tanpa menjadi sebahagian daripada strategi geopolitik Washington terhadap China.
Prinsip ini kadangkala disebut sebagai autonomi strategik.
Namun autonomi strategik hanya bermakna apabila sebuah negara berani menggunakan prinsip yang sama terhadap semua kuasa besar. Jika Malaysia mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah dalam isu Taiwan, prinsip yang sama harus digunakan apabila membicarakan Palestin, Ukraine atau mana-mana negara yang berhadapan campur tangan dan penggunaan kekerasan dari luar.
Di sinilah pendirian Anwar akan diuji.
Persoalannya bukan sama ada Malaysia harus meninggalkan dasar Satu China. Tidak ada keperluan strategik untuk berbuat demikian. Persoalannya ialah sama ada menerima dasar Satu China bermaksud Malaysia juga harus menerima kemungkinan penggunaan kekuatan sebagai jalan penyelesaian.
Kedua-duanya tidak semestinya perkara yang sama.
Malaysia masih boleh mengiktiraf Satu China sambil menegaskan bahawa penyelesaian mengenai Taiwan mestilah dilakukan secara aman. Pendekatan sedemikian lebih dekat dengan tradisi ASEAN yang menekankan dialog, kestabilan dan pengelakan konflik.
Lebih penting, Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam bahasa geopolitik kuasa besar.
Amerika mempunyai naratifnya mengenai demokrasi dan kebebasan Taiwan. China mempunyai naratifnya mengenai penyatuan nasional dan integriti wilayah. Taiwan pula mempunyai naratif mengenai identiti dan masa depan politik rakyatnya.
Malaysia tidak semestinya perlu memilih sepenuhnya salah satu daripada tiga naratif tersebut.
Sebagai negara Global Majority, Malaysia mempunyai ruang untuk membina bahasa diplomatiknya sendiri: menghormati kedaulatan China, memahami kompleksiti sejarah Taiwan, menolak campur tangan kuasa luar dan pada masa yang sama menegaskan bahawa peperangan bukan penyelesaian.
Inilah sebenarnya cabaran dunia multipolar. Multipolariti bukan sekadar kemunculan China sebagai pesaing Amerika Syarikat. Ia juga seharusnya membuka ruang kepada negara-negara sederhana untuk mempunyai suara, kepentingan dan pertimbangan sendiri.
Kontroversi kenyataan Anwar mengenai Taiwan akhirnya memperlihatkan betapa sukarnya ruang tersebut dipertahankan.
Anwar mungkin melihat persoalan Taiwan melalui prinsip integriti wilayah. Taiwan pula melihatnya melalui pengalaman sejarah dan hak menentukan masa depan politiknya. Beijing melihatnya sebagai penyatuan nasional, sementara Washington melihat Selat Taiwan melalui persaingan strategiknya dengan China.
Malaysia berada di tengah-tengah semua naratif tersebut.
Sebab itu persoalan sebenar bukanlah sama ada Anwar berpihak kepada China atau Taiwan. Persoalan yang jauh lebih penting ialah bagaimana Malaysia mahu mempertahankan autonomi strategiknya apabila dunia semakin dipaksa memilih pihak.
Dalam dunia multipolar, kedaulatan bukan sahaja mengenai mempertahankan sempadan negara. Ia juga mengenai kedaulatan membuat keputusan — keupayaan sebuah negara menentukan pendiriannya sendiri tanpa membiarkan pemikirannya ditentukan oleh Beijing, Washington atau mana-mana kuasa besar.
Di situlah ujian sebenar dasar luar Malaysia bermula.
Oleh Ismail Hashim Yahaya. Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangan semasa daripada perspektif semiotik dan naratif
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.