Demokrasi Di Malaysia Perlukan Pembangkang Lebih Baik

Oleh : Liew Chin Tong

Foto – facebook Liew Chin Tong

Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan pembangkang dengan hampir satu pertiga kerusi Parlimen mempunyai peluang menjadi alternatif kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, dengan masalah dalaman kepemimpinannya serta tanpa sebarang perancangan untuk Malaysia, ia tidak akan ke mana-mana.

Perhimpunan pembangkang di ibu kota Sabtu lalu, menyasarkan usaha menurunkan Anwar dan membangkitkan semula semangat penyokong yang semakin tak bermaya berikutan kelemahan kepemimpinannya.

Sementara perhimpunan itu dipimpin Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membawa ramai hadirin, hampir semuanya penyokong PAS dan gagal menarik penyertaan rakyat tidak berparti.

Bagi memahami konteks politik lebih luas, mari kita lihat krisis kepemimpinan PN.

Sebelum itu, pada 23 Februari 2020, Muhyiddin dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melancarkan rampasan kuasa politik menamatkan hayat Kerajaan PH selama 22 bulan.

Muhyiddin berjaya menjadi Perdana Menteri dilihat sebagai berwibawa dalam kalangan orang Melayu walaupun dalam masa singkat dengan sokongan UMNO. Imej beliau membolehkan PN mencatatkan kejayaan pada PRU15.

Sewaktu kempen pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos 2023, Mohamed Azmin berulang kali menyatakan jika PN menang Selangor, Muhyiddin akan kembali menjadi Perdana Menteri, dengan harapan imejnya sebagai Perdana Menteri dahulu akan dapat menarik undi. Namun, Muhyiddin sudah hilang sinarnya.

Selepas PRN, saya menulis PN sudah mencapai kemuncaknya dan sementara PAS terus kuat di kubunya, kepemimpinan BERSATU akan terumbang-ambing dan pengaruhnya semakin pudar. Muhyiddin sendiri tidak banyak melakukan apa-apa yang penting sepanjang dua tahun lalu yang dapat mengembalikannya sebagai Perdana Menteri.

Malah, dalam kalangan kepemimpinan PAS, ada yang mahu Muhyiddin berundur, manakala dalam BERSATU pula, ada inginkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden mereka.

Perlu diingatkan BERSATU ditubuhkan pada September 2016 oleh Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawan Datuk Seri Najib Razak. Selepas menang bersama PH, kumpulan Hamzah dalam UMNO melompat masuk BERSATU pada 2019 untuk menambah kerusi Parlimen parti itu.

Apabila berlaku rampasan kuasa Sheraton 2020, kumpulan Dr Mahathir ditolak keluar, manakala kumpulan Mohamed Azmin melompat masuk BERSATU dengan membawa wakil rakyat PKR.

Sehingga kini, kumpulan bersaing kuasa ini belum berjaya mencapai kata sepakat. Jika Muhyiddin memberi jalan, Hamzah bakal menggantikannya, sekali gus mengetepikan Mohamed Azmin.

BERSATU menghadapi dilema. Sinaran cahaya kepemimpinan Muhyiddin semakin malap di mata pengundi, manakala Hamzah tidak cukup karisma sebagai calon Perdana Menteri. Ini menjadikan sesetengah pemimpin PAS gelisah kerana parti itu mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen.

Sebenarnya, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai daya tarikan dalam kalangan pengundi moderat. Masalahnya, adakah kepemimpinan PAS peduli dengan pendirian moderat, walaupun sedar jalan tengah adalah elemen penting untuk memenangi dan memegang kuasa Persekutuan?

PAS ditubuhkan pada 1951 oleh kalangan ulama UMNO, tetapi kudrat dan jiwanya hari ini dibentuk pada muktamar 1982 yang menyaksikan penyingkiran presidennya, Datuk Asri Muda, pemimpin konservatif Melayu.

Sepanjang 1951 hingga 1982, PAS sentiasa bersaing dengan UMNO untuk menjadi wira Melayu. Walaupun berwajah agama, perjuangan adalah untuk orang Melayu hingga ada pihak lawan menyindirnya sebagai parti kampung atau parti lebai.

Menjelang dekad 1970-an, negara Muslim pengeluar minyak mula mencari identiti diri sewaktu gelombang kebangkitan Islam antarabangsa, terutama dalam kalangan anak muda. Di negara kita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pimpinan Anwar paling menonjol.

Berikutan krisis dalaman, kerajaan negeri PAS Kelantan hilang kuasa selepas darurat diisytiharkan Kerajaan Persekutuan pada 1977 dan setahun kemudian kalah dalam PRN.

Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri pada Julai 1981. Tidak lama kemudian, Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU diadakan pada April 1982. Anwar menerima jemputan Dr Mahathir menyertai UMNO dan menjadi wajah Islam parti itu.

Bagi PAS, kepemimpinan Asri dilihat lapuk dan ketinggalan zaman. Kumpulan suara muda PAS daripada kepimpinan ABIM, khususnya Datuk Fadzil Noor dan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih dan membawa perubahan besar.

Walaupun Yusof Rawa daripada kepemimpinan lama dipilih menjadi presiden, tulang belakang sebenar adalah Fadzil dan Abdul Hadi, masing-masing dipilih sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Revolusi Iran 1979 pengaruhi PA

Semangat Revolusi Iran 1979 mempengaruhi PAS untuk meletakkan ulama di atas struktur kepemimpinan. Daripada era bersaing dengan UMNO untuk menjadi wira Melayu, ia menjadi pertandingan siapa lebih Islam dalam masyarakat Melayu khususnya.

Apabila Dr Mahathir memecat Anwar daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, Fadzil yang mengambil alih kepemimpinan PAS pada 1989, menggunakan kesempatan itu untuk menarik ramai golongan muda dan profesional menyertai parti.

Fadzil mempersiapkan PAS untuk memenangi hati golongan moderat Melayu dan mendekati kaum bukan-Melayu. Beliau sedar PAS perlu mendapat sokongan pengundi jalan tengah jika mahu dilihat sebagai parti mampu mentadbir negara.

Sayangnya, Fadzil pergi terlebih dahulu pada Jun 2002 dan tempatnya digantikan Abdul Hadi. Pada Jun 2015, transformasi PAS sebagai parti konservatif lengkap apabila berjaya menyingkirkan semua elemen progresif daripada parti.

Tanpa golongan progresif, PAS pimpinan Abdul Hadi kembali kepada cita-cita lama 1982. Walaupun hampir mustahil, impian pemimpin dan ahli PAS adalah agar rakyat, sama ada Muslim atau bukan Muslim, dapat melihat cahaya kebenaran versi PAS dan akan mengundinya pada pilihan raya akan datang.

Apabila Abdul Hadi sedang uzur menyatakan hasrat kekal sebagai presiden dalam pemilihan parti September ini, ia semakin menyukarkan PAS berganjak keluar daripada pegangan 1982. Sekurang-kurangnya itulah hakikatnya setakat ini.

Kepada Samsuri dan pemimpin PAS lain yang mungkin mempunyai daya penarik dalam kalangan pengundi pelbagai kaum dan memahami pentingnya berada di jalan tengah, mereka perlu menunggu. Pada masa sama, mereka juga perlu berhati-hati agar tidak disingkirkan kalangan konservatif radikal dalam parti.

Sebenarnya PN boleh menjadi pembangkang konstruktif jika ia mahu. Ini bermakna ia perlu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan melalui proses Parlimen untuk sama-sama memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

Kepemimpinan PN perlu sedar menjadi pembangkang hanya mampu menimbulkan kemarahan untuk memanipulasi emosi rakyat, terutama orang Melayu, tidak akan membawa perubahan kepada negara.

Saya masih ingat seminggu selepas rampasan kuasa Sheraton pada 2020 dan ketika ramai penyokong PH masih belum hilang marah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berjaya meyakinkan ahli Parlimen DAP untuk mencari satu penyelesaian. Idea beliau: Menstabilkan keadaan politik terlebih dahulu, bekerjasama dengan kerajaan semasa dalam bentuk Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dan hanya selepas semua itu dilaksanakan, barulah berjuang habis-habisan di PRU.

Dengan krisis dalaman BERSATU, PAS kembali kepada dogma 1982 dan PN menjadi pembangkang tanpa mesej positif, sukar untuk pengundi jalan tengah memilih pembangkang berpecah-belah.

Demokrasi di Malaysia memerlukan pembangkang lebih baik.

YB Liew Chin Tong adalah Pengarah Strategik DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Analisis : Sebelum Mimpi Ke Putrajaya Selesaikan Dulu Kemelut Bersatu

Jangan sampai orang melihat Muhyiddin mampu menyatukan parti-parti lain dalam satu gabungan tetapi gagal menyatukan Bersatu yang makin haru biru. Bukan apa takut orang kata, ‘’rumahtangga orang lain dia satukan, rumahtangga sendiri berantakan’’…kalau macam itu macam mana nak tadbir Putrajaya…jalan-jalan cari makan kat situ bolehlah.
Read More

Sang Kelembai Politik Global

Tapi kalau saya bandingkan Trump dengan Sang Kelembai (atau Gedembai) mungkin banyak orang tahu. Setidak-tidaknya ramai orang tua Melayu tahu sebab Sang Kelembai adalah cerita rakyat (folklore) orang Melayu. Apa yang Sang Kelembai sentuh atau tegur, jadi batu.
Read More
Total
0
Share