
KUALA LUMPUR | 21 Ogos 26 – Ketua Ehwal Luar Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendesak kerajaan menjelaskan sama ada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan mencerminkan pendirian rasmi kerajaan dan Kabinet atau pandangan peribadi beliau.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Anwar dalam wawancara Al Jazeera yang disiarkan pada 16 Ogos lalu, ketika Perdana Menteri berkata: “Saya melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China, titik.”
Anwar turut berkata pendirian itu berasaskan prinsip One China dan ketika ditanya mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan bagi menghalang pemisahan, beliau mengaitkannya dengan pendirian Malaysia mempertahankan keutuhan wilayah negara. Laporan mengenai wawancara itu turut menyebut Anwar mempertahankan hak China menggunakan kekerasan sekiranya penyatuan secara aman gagal.
Kenyataan berkenaan kemudian mencetuskan bantahan Taiwan, yang mendakwa Anwar secara terbuka membenarkan penggunaan kekerasan China terhadap Taiwan.
Wan Fayhsal berkata Malaysia sememangnya mempunyai dasar One China yang perlu dihormati, namun dasar itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sokongan terhadap penggunaan kekerasan.
“Dasar One China tidak menghendaki Malaysia menyokong, membenarkan atau mengiktiraf penggunaan kekerasan ketenteraan dalam menyelesaikan isu China-Taiwan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia boleh mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan China serta Taiwan berdasarkan kepentingan nasional tanpa perlu mengambil pendirian mengenai cara pertikaian itu diselesaikan.
“Terdapat perbezaan yang jelas antara menghormati Dasar One China dengan menyokong penggunaan kekerasan. Malaysia boleh mengekalkan dasar yang pertama tanpa menyokong yang kedua,” katanya.
Wan Fayhsal berkata kenyataan Perdana Menteri membawa implikasi lebih besar kerana setiap kenyataan pemimpin negara lazimnya ditafsirkan di peringkat antarabangsa sebagai mencerminkan pendirian kerajaan.
“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada kenyataan Perdana Menteri itu mencerminkan pendirian rasmi Kerajaan Malaysia dan Kabinet, atau sekadar pandangan peribadinya,” katanya.
Beliau turut menggesa Malaysia mengekalkan autonomi strategik dan mengelak daripada dilihat berpihak kepada mana-mana kuasa besar.
Menurutnya, hubungan ekonomi dengan Taiwan juga perlu diberi perhatian, dengan Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan nilai perdagangan dua hala mencecah RM176.1 bilion.
Wan Fayhsal yang juga Ketua Penerangan Wawasan Negara berkata sebarang ketegangan yang tidak perlu boleh memberi kesan terhadap perdagangan, pelaburan, rantaian bekalan serta kestabilan serantau.
“Dasar luar bukan platform untuk kenyataan sambil lewa. Kata-kata seorang Perdana Menteri membawa akibat, bukan sahaja dalam kalangan diplomatik, tetapi terhadap pelaburan, pekerjaan, peluang pendidikan, perdagangan, kestabilan serantau dan reputasi Malaysia di luar negara,” katanya.
Beliau menggesa Anwar supaya lebih berhati-hati dan berdisiplin ketika mengulas isu dasar luar yang sensitif, selain memastikan kepentingan strategik Malaysia tidak terjejas akibat kenyataan yang boleh mencetuskan salah tafsir di peringkat antarabangsa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.