Pemuda PAS Selangor Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape

KUALA LUMPUR, 13 Okt 25 – Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik (vape) di Selangor, sambil menyifatkan kelewatan tindakan itu sebagai kegagalan melindungi kesihatan awam.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohd Faizzuddin Mohd Zai, berkata Selangor sepatutnya mencontohi Kelantan, Perlis dan Terengganu yang sudah melaksanakan larangan total terhadap vape, manakala Kedah turut bakal menghentikan jualan menjelang hujung tahun ini.

Beliau menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh untuk mengharamkan penjualan vape kerana lesen perniagaan dikeluarkan di bawah bidang kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Faizzuddin turut mengkritik kenyataan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, yang mencadangkan hasil cukai jualan vape disalurkan kepada kerajaan negeri dan PBT, sambil menyifatkannya sebagai “mengecewakan rakyat Selangor.”

“Rakyat tidak mengharapkan hasil negeri daripada sumber yang menghancurkan kesihatan generasi muda,” katanya sambil menegaskan sikap kerajaan negeri menunjukkan kealpaan terhadap ancaman penyakit akibat vape.

Beliau berkata penyakit E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang berpunca daripada penggunaan vape boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal dan maut. KKM turut menganggarkan kos rawatan EVALI akan meningkat hingga RM369 juta setahun menjelang 2030, dengan rawatan bagi setiap pesakit kini menelan lebih RM150,000.

Faizzuddin mendakwa kenyataan Exco Kesihatan itu juga bercanggah dengan pendirian Menteri Besar Selangor, yang pernah menyuarakan hasrat untuk melaksanakan larangan vape, sekali gus menimbulkan kekeliruan dasar dan menunjukkan kelemahan pentadbiran dalam isu kesihatan awam.

Beliau menegaskan nyawa dan masa depan generasi muda jauh lebih berharga daripada hasil cukai sementara, serta menggesa kerajaan negeri mengambil langkah berani mengharamkan penjualan vape secara serta-merta demi melindungi rakyat Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share