“Berapa Banyak Lagi Pokok Perlu Tumbang?” Ketua Pembangkang Melaka Desak SOP Dinilai Semula

MELAKA | 22 Ogos 26 – Ketua Pembangkang Melaka, Mohd Yadzil Yaakub, mendesak kerajaan negeri menilai semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan cantasan pokok susulan beberapa kejadian pokok tumbang yang berlaku di negeri itu.

Beliau berkata kejadian terbaru di Jalan Ayer Panas, Bemban, malam tadi, apabila sebuah MPV dinaiki seorang wanita bersama anak-anaknya dihempap pokok besar, tidak seharusnya dilihat sekadar kemalangan akibat ribut.

“Ini bukan kejadian pertama. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan beberapa kejadian pokok tumbang di Melaka,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, antara kejadian terdahulu termasuk pokok tumbang menghempap rumah penduduk berhampiran lokasi kejadian malam tadi, sebuah rumah Exco Kerajaan Negeri Melaka yang menjadi mangsa pokok tumbang bulan lalu serta kejadian hujung tahun lalu yang mengorbankan seorang penunggang motosikal.

Beliau turut membangkitkan kejadian pada 2022 apabila seorang bayi terkorban akibat pokok tumbang di Pantai Puteri.

Yadzil berkata faktor ribut memang tidak dapat dielakkan, namun pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pokok yang dikenal pasti sudah tua, reput, kering, berpenyakit atau berisiko tumbang.

“Apakah kita mahu terus menunggu sehingga pokok itu tumbang? Apakah kita menunggu sehingga ada mangsa? Apakah itu pendekatan pencegahan kita?” soalnya.

Beliau berkata keadaan itu lebih membimbangkan di sepanjang laluan Bemban menuju Kesang yang mempunyai banyak pokok besar di kiri dan kanan jalan, termasuk sebahagiannya yang kelihatan tidak lagi sihat.

Katanya, persoalan turut timbul sama ada pemeriksaan terhadap sistem akar dan kestabilan pokok dilakukan secara menyeluruh, memandangkan pembangunan jalan raya, longkang, bahu jalan dan kerja tanah boleh menjejaskan struktur akar.

Yadzil mengakui penubuhan Jawatankuasa Cantasan Pokok oleh Kerajaan Negeri Melaka pada Mei 2024 sebagai langkah positif, namun berkata keberkesanan SOP sedia ada perlu dinilai semula sekiranya masih terdapat pokok berisiko tinggi yang dibiarkan sehingga tumbang.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa melibatkan pakar arborikultur, perhutanan dan landskap bagi membuat penilaian profesional terhadap pokok berisiko, khususnya di sepanjang jalan utama dan kawasan yang mempunyai trafik tinggi.

“Buat inventori. Kenal pasti pokok berisiko. Tetapkan tahap bahaya. Pantau secara berkala. Dan jika benar-benar berbahaya, ambil tindakan sebelum ia menjadi tragedi,” katanya.

Yadzil berkata kerajaan negeri tidak seharusnya hanya bertindak selepas berlaku kemalangan kerana pendekatan pencegahan lebih penting dalam isu keselamatan awam.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri memandang serius perkara itu serta meninjau semula SOP pengurusan dan cantasan pokok yang sedang dilaksanakan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share