Rungkai Keadilan Untuk Zara, Kata Bekas Menteri

KUALA LUMPUR, 29 Jul 25 – Bekas menteri pengajian tinggi Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa kes kematian membabitkan Zara Qairina Mahathir diselesaikan melalui undang-undang yang adil dan telus.

Katanya, penyelesaian itu penting buat keluarga pelajar tingkatan satu yang terjatuh dari bangunan Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu.

“Saya berharap agar kes Zara diberikan penyelesaian undang-undang yang adil dan telus. Ini amat penting untuk keluarganya yang kehilangan dan kesedihan yang amat sangat.

“Juga untuk menamatkan khabar angin yang tersebar berkaitan kes ini, yang juga membuka kembali cerita-cerita lama tentang sesetengah kes kematian yang terdahulu,” katanya, dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan 2025 di Dewan Rakyat.

Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, banyak persoalan timbul dan berlegar di media sosial antaranya punca menyebabkan pelajar itu terjatuh sama ada kemalangan atau melibatkan unsur jenayah.

“Adakah benar dakwaan bahawa terdapat saksi kejadian yang telah ditukarkan ke sekolah lain?

“Ini persoalan yang sedang berlegar di media sosial dan menjadi perbualan rakyat, maka, harus dijawab segera oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut mempersoalkan sama ada wujud cubaan oleh pihak tertentu untuk memujuk atau mendesak keluarga mangsa agar tidak membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Saifuddin antara lain membangkitkan keperluan menambah baik sistem sekolah berasrama.

“Saya mencadangkan agar KPM membuat kajian tentang peranan dan sistem sekolah berasrama.

“Ini kerana, sebahagiannya ditubuhkan lama dulu, iaitu dengan tujuan-tujuan yang sesuai pada masa itu yang pada hari ini dan hari esok, mungkin tidak lagi sesuai, lalu perlu diinovasi,” tambahnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share