WAWASAN NEGARA Dapat Momentum Di Bayan Baru, Wan Saiful Dakwa Sokongan Rentas Kaum Meningkat

PULAU PINANG | 23 oGOS 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN), mendakwa perjuangannya semakin mendapat momentum di peringkat akar umbi, khususnya di Parlimen Bayan Baru.

Naib Presiden WAWASAN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata perkara itu dapat dilihat menerusi kehadiran ahli pelbagai latar belakang kaum dalam satu perjumpaan parti di kawasan berkenaan malam tadi.

Menurut beliau, kehadiran ahli Melayu, Cina dan India menunjukkan komitmen rentas kaum terhadap perjuangan WAWASAN.

“Ini satu momentum baharu yang membuktikan bahawa perjuangan Parti Wawasan Negara semakin kukuh di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata suasana perjumpaan berkenaan amat membanggakan dan mencerminkan apa yang disifatkannya sebagai semangat perpaduan sebenar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Puan Azah Aziz yang disifatkannya sebagai tokoh wanita yang komited serta sentiasa prihatin terhadap isu masyarakat.

“Kepimpinan beliau bersama sokongan rakan-rakan rentas kaum ini mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap prinsip perjuangan WAWASAN,” katanya.

Menurut Wan Saiful, fokus utama parti ketika ini adalah menyatukan dan menguatkan jentera bagi memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat Pulau Pinang.

Semalam, Wan Saiful turut mengumumkan kemasukan barisan kepimpinan BERSATU Nibong Tebal bersama sayap Srikandi dan Armada ke dalam WAWASAN. Perkembangan itu hadir ketika WAWASAN sedang memperluaskan struktur dan pengaruhnya di peringkat akar umbi, termasuk menerusi kemasukan pemimpin serta ahli daripada parti lain ke dalam parti berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share