
KUALA LUMPUR | 23 Ogos 26 – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan sebab BERSATU tidak dipanggil menghadiri perbincangan gabungan itu berhubung calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Takiyuddin, penjelasan itu diberikan kepada pegawai penyiasat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selepas beliau dipanggil untuk disiasat susulan aduan BERSATU.
Katanya, beliau disoal siasat selama kira-kira tiga hingga empat jam pada Jumaat berhubung dakwaan BERSATU tidak dipanggil berbincang mengenai calon-calon PRN Negeri Sembilan.
Takiyuddin berkata, antara perkara yang dijelaskan ialah keputusan BERSATU pada 15 Julai lalu untuk menggunakan logo sendiri dalam PRN Negeri Sembilan.
“Apabila parti ini melalui Majlis Tertinggi dia, pada 15 haribulan Julai, buat satu kenyataan umum. Presiden dia buat pengumuman bahawa parti ini akan menggunakan logo dia sendiri dalam pilihan raya negeri di Negeri Sembilan.
“Tak usah guna dah Perikatan Nasional ini. Nak guna hak dia punya sendiri,” katanya dalam satu rakaman video ang tular.
Sehubungan itu, Takiyuddin mempersoalkan mengapa PN perlu memanggil BERSATU untuk mesyuarat pada 16 Julai bagi membincangkan PRN Negeri Sembilan, sedangkan parti itu telah mengumumkan sehari sebelumnya bahawa mereka tidak lagi akan menggunakan logo PN.
“Bila dia tak nak guna dah Perikatan Nasional, kenapa kita nak panggil dia mesyuarat pada 16 bulan? Dia kata dia isytihar 15 hari bulan Julai,” katanya.
Takiyuddin turut mendakwa BERSATU sebelum ini menimbulkan masalah ketika PRN Johor apabila bertanding menggunakan logo PN, namun pada masa sama mengeluarkan kenyataan yang didakwanya memburukkan PAS dan parti-parti lain dalam gabungan tersebut.
“Dia pakai logo Perikatan Nasional. Kita pakai logo Perikatan Nasional. Dia memburukkan kita. Supaya orang sokong dia. Tapi orang tak sokong kita,” katanya.
Beliau berkata semua perkara berkenaan telah dijelaskan kepada pegawai penyiasat ROS sepanjang sesi soal siasat tersebut.
Aduan BERSATU itu dibuat selepas parti berkenaan mendakwa tidak dipanggil berbincang mengenai calon-calon PRN Negeri Sembilan, susulan pemilihan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.