“PAC Buka Prosiding Tabung Haji, Fokus Status Pelaksanaan Syor RCI”

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 — Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini sebulat suara bersetuju memulakan prosiding bagi meneliti kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (LTH), susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi institusi itu.

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dibuat selepas laporan RCI yang menyiasat isu pengurusan dan operasi LTH bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Menurut beliau, PAC memandang serius penemuan RCI berkenaan kerana kegagalan menangani isu yang dibangkitkan secara sewajarnya boleh menghakis kepercayaan umat Islam terhadap Tabung Haji.

“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sebagai Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersifat bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding berhubung perkara berkenaan berdasarkan peruntukan dan peraturan berkaitan pengawasan kewangan serta pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prosiding PAC itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dijalankan secara menyeluruh.

Sebaliknya, katanya, PAC akan memberi tumpuan kepada status dan kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI, selaras dengan fungsi teras jawatankuasa berkenaan dalam memastikan akauntabiliti terhadap pengurusan wang awam.

“Tajuk, Terma Rujukan (TOR) dan senarai saksi berhubung prosiding Lembaga Tabung Haji ini masih belum ditetapkan buat masa ini dan Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan,” katanya.

PAC turut mempunyai rekod menjalankan prosiding terhadap isu-isu besar dan sensitif, termasuk prosiding berkaitan 1MDB pada 2016, tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion pada 2019 serta perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2022.

Menurut Mas Ermieyati, prosiding LCS sebelum ini turut dimulakan selepas PAC menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada 2019.

Dalam memastikan prosiding Tabung Haji dilakukan secara menyeluruh, telus dan berakauntabiliti, PAC juga akan merujuk beberapa dokumen utama termasuk Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan laporan audit firma PwC.

PAC, katanya, komited menjalankan prosiding secara telus dan adil bagi memastikan akauntabiliti berterusan dalam pengurusan wang awam serta mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap LTH.

Langkah PAC itu kini membuka satu lagi ruang penelitian Parlimen terhadap isu pengurusan Tabung Haji selepas penemuan RCI mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus dan keputusan kewangan institusi tersebut bagi tempoh yang disiasat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Wan Saiful Sahkan Parti Baharu Akan Diumum Jun Ini

“Kita sedang mengkaji masa yang terbaik untuk mengumumkan pelancaran parti. Sasaran asal adalah sekitar pertengahan Jun, namun saya tidak mahu memberikan komitmen yang terlalu spesifik kerana beberapa faktor boleh menyebabkan perubahan tarikh,” katanya
Read More
Total
0
Share