Menara KL Mula Operasi Esok Dibawah Pengurusan Baharu

KUALA LUMPUR, 25 APR 25 – Menara Kuala Lumpur akan dibuka semula kepada orang ramai bermula esok, 26 Apr di bawah pengurusan syarikat baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Dijenamakan semula sebagai Kuala Lumpur Tower, syarikat pengendali itu turut mengumumkan dua tarikan baharu buat pengunjung, iaitu restoran berputar dikenali sebagai “orbit” dan dewan eksklusif untuk majlis keraian dikenali sebagai “hemisfera”.

“Kami amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menerajui pengurusan ikon negara ini,” kata Khairil Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, LSHSM, dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, LSHSM telah bertungkus lumus tanpa henti untuk penambahbaikan Kuala Lumpur Tower dengan perubahan itu direka untuk memastikan menara setinggi 421 meter itu kekal sebagai mercu tanda global yang terkemuka, menawarkan pengalaman yang moden, menarik dan mampan untuk semua pengunjung.

“Penjenamaan semula ini hanyalah permulaan—satu langkah awal ke arah transformasi menyeluruh yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pembukaan semula ini bukan sekadar kesinambungan operasi, tetapi visi kami adalah untuk memperkasakan legasi menara ini dengan pelbagai inovasi baharu yang selari dengan keperluan masa kini, sambil mengekalkan nilai warisan dan budayanya,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share