UMNO: Penyatuan Ummah, Keindukan Melayu Teras Kestabilan Politik Negara

KUALA LUMPUR | 29 Ogos 26 – UMNO menegaskan penyatuan ummah dan kepentingan Melayu perlu terus menjadi antara asas penting dalam memastikan kestabilan politik negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu antara yang dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang berlangsung pada 28 Ogos lalu.

Menurut beliau, UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dijalankan oleh agensi penyelidikan serta ahli akademik berkaitan sentimen rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, dapatan tersebut menunjukkan wujud harapan dalam kalangan rakyat agar usaha penyatuan ummah dapat direalisasikan.

“UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik di kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat MKT UMNO.

Asyraf Wajdi berkata, kepentingan Melayu turut dilihat sebagai elemen yang mempunyai kaitan dengan kestabilan politik negara.

“Dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat ketika UMNO turut menetapkan supaya kepimpinan UMNO di peringkat negeri mengadakan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang berminat untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

UMNO bagaimanapun menegaskan sebarang rundingan kerjasama pilihan raya perlu dilakukan berasaskan keikhlasan dan kepercayaan.

Parti itu menolak pendekatan berbentuk tekanan dengan menegaskan rundingan tidak seharusnya berasaskan “ugutan dan gertakan”.

Dalam pada itu, MKT UMNO turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Menurut UMNO, jemputan itu dibuat sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS.

Perkembangan tersebut memberikan isyarat bahawa isu penyatuan ummah dan kerjasama politik terus menjadi sebahagian daripada perbincangan strategik UMNO menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share