Enam puluh sembilan tahun! . Sudah hampir tujuh dekad kita melaungkan kemerdekaan tetapi persoalan yang terus menghantui kita ialah: adakah kita benar-benar merdeka? Bukan sekadar merdeka daripada penjajah, lebih jauh lagi merdeka daripada belenggu kemiskinan, kejahilan dan ketakutan yang dicipta oleh politik identiti.
Selepas merdeka, orang Melayu memperoleh kedudukan politik yang sangat penting melalui Perlembagaan, institusi Raja, bahasa Melayu, Islam, dasar pembangunan dan pembentukan kelas menengah Melayu.
Itu sebahagian daripada sejarah pembinaan negara yang tidak boleh dinafikan. Namun dari perspektif semiotik-naratif, persoalan kritikalnya ialah: adakah “kuasa Melayu-Islam” akhirnya menjadi tanda yang menggantikan makna kemerdekaan itu sendiri? Apabila “Melayu-Islam” sentiasa ditandakan melalui siapa menguasai kerajaan, berapa banyak jawatan dimiliki Melayu, parti mana dianggap lebih Melayu, siapa dianggap mengancam Islam atau parti bukan
Melayu mana dijadikan musuh, kita berhadapan dengan kemungkinan penyempitan makna merdeka. Merdeka akhirnya dibaca sebagai sekadar “Melayu berkuasa,” sedangkan persoalan yang lebih besar sepatutnya: untuk apakah kuasa itu digunakan?
Perbezaan antara kuasa dan pemerkasaan adalah kunci untuk memahami mengapa naratif politik identiti sering kali mengelirukan rakyat. Kuasa Melayu merujuk kepada keupayaan orang Melayu untuk menguasai institusi politik – menjadi Perdana Menteri, menteri, ketua jabatan dan majoriti di Parlimen. Pemerkasaan Melayu pula merujuk kepada keupayaan orang Melayu untuk maju dalam ekonomi, pendidikan, pemikiran dan martabat – tidak lagi bergantung kepada bantuan, mampu bersaing secara sihat dan hidup dengan maruah.
Kuasa adalah tentang siapa yang memerintah; pemerkasaan adalah tentang bagaimana rakyat Melayu hidup. Bayangkan sebuah syarikat yang ketua pegawai eksekutif dan semua pengurus kanan adalah orang Melayu. Itu adalah “Kuasa Melayu” – mereka memegang tampuk kepimpinan.
Namun, jika di bawah kepimpinan mereka syarikat terus rugi, pekerja Melayu masih bergaji rendah, ramai pekerja Melayu tidak mendapat latihan kemahiran, produktiviti syarikat jatuh, rasuah bermaharajalela dan ramai pekerja Melayu terpaksa diberhentikan kerana tidak kompeten,maka pekerja Melayu tidak diperkasa, walaupun CEO dan pengurusnya orang Melayu.
Kuasa di peringkat atas tidak semestinya membawa manfaat ke peringkat bawah. Begitu juga dalam politik dan negara.
Jika selepas puluhan tahun dominasi politik Melayu masih terdapat kemiskinan Melayu, ketirisan, salah urus institusi, pendidikan yang tertinggal, jurang kekayaan, masalah integriti dan kegelisahan tentang masa depan generasi muda, maka semiotik “kuasa Melayu” perlu dipisahkan daripada realiti pemerkasaan Melayu.
Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1971 dengan matlamat mencapai 30% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam masa 20 tahun adalah instrumen pemerkasaan.
Namun realitinya, daripada 2.4% pada tahun 1970 kepada 19.3% pada tahun 1990 dan masih kekal sekitar 20% pada tahun 2020, sasaran 30% tidak pernah tercapai. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pemilikan itu dikuasai oleh segelintir elit Melayu manakala majoriti Melayu masih berada di kelompok bawahan.
Inilah bukti paling jelas: kuasa politik Melayu telah wujud selama puluhan tahun tetapi pemerkasaan ekonomi Melayu masih belum tercapai secara menyeluruh. Orang Melayu mungkin menguasai politik namun mereka belum tentu menguasai ekonomi, ilmu dan pemikiran mereka sendiri. Itulah perbezaan antara kuasa dan pemerkasaan yang sering dikaburkan oleh naratif politik yang sibuk dengan siapa berkuasa daripada apa yang dilakukan dengan kuasa itu.
Begitu juga Islam. Jika Islam hanya muncul dalam naratif politik sebagai identiti yang perlu “dipertahankan” daripada musuh, Islam boleh direduksi menjadi penanda politik. Sedangkan makna Islam jauh lebih besar: amanah, keadilan, menolak rasuah, menjaga golongan miskin, menegakkan ilmu, mengurus kekayaan secara bertanggungjawab dan memelihara kemuliaan manusia.
Apabila politik ketakutan mendominasi, Islam yang sebenar – yang mengangkat martabat manusia dan menuntut keadilan – terpinggir. Apa yang tinggal hanyalah simbol kosong yang digunakan untuk menghalalkan segala tindakan, termasuk yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Maka di sinilah DAP, misalnya, menarik sebagai fenomena semiotik politik.
Tidak semestinya perlu membahaskan DAP dari segi benar atau salah pada setiap isu atau sekadar menjadikannya mangsa untuk membakar sentimen orang Melayu pada setiap musim pilihan raya. Apa yang lebih menarik ialah bagaimana nama “DAP” boleh berfungsi sebagai penanda dalam naratif politik Melayu: DAP → ancaman → kehilangan kuasa → Melayu terancam → Islam terancam → perlunya penyatuan Melayu-Islam.
Hubungan itu boleh dibina dan diulang sehingga kelihatan seperti sesuatu yang semula jadi, walaupun setiap pautannya sebenarnya perlu dibuktikan secara politik dan empirikal. Ia bukan lagi tentang dasar atau prestasi sebaliknya tentang mencipta “yang lain” untuk menentukan siapa diri kita.
Ini membawa kita kepada paradoks yang sangat kuat: Merdeka sepatutnya membebaskan kita daripada politik ketakutan. Namun apabila makna kuasa terus dibina melalui kewujudan musuh, kita mungkin telah merdeka daripada penjajah tetapi belum sepenuhnya merdeka daripada keperluan mencipta “yang lain” untuk menentukan siapa diri kita.
Setelah 69 tahun, kita masih terperangkap dalam politik ketakutan, seolah-olah kemerdekaan bukanlah tentang kebebasan, tetapi lebih mendalam lagi tentang siapa yang paling dominan dalam mengawal naratif ketakutan itu. Kita sibuk mempertahankan kedudukan daripada “ancaman,” sedangkan persoalan moral yang lebih besar menunggu untuk dijawab: apakah yang telah kita lakukan dengan kuasa yang berada di tangan kita?
Sebuah negara yang merdeka tidak diukur daripada seberapa kuat ia menekan lawan tetapi daripada seberapa tinggi ia mengangkat rakyatnya yang lemah. Sebuah bangsa yang merdeka tidak diukur daripada seberapa seragam identitinya, pada masa yang sama daripada seberapa besar ruang yang diberikannya untuk bermimpi dan berkembang.
Merdeka bukan tentang siapa paling dominan; merdeka ialah apakah yang kita lakukan apabila kuasa berada di tangan kita. Sudah tiba masanya untuk kita menterjemahkan dominasi politik kepada pemerkasaan ekonomi, menterjemahkan retorik agama kepada keadilan sosial dan menterjemahkan perpaduan bangsa kepada pembinaan manusia yang bermaruah.
Pemerkasaan sebenar berlaku apabila orang Melayu berdikari dari segi ekonomi, berdaya saing di peringkat global, berfikiran kritis dan terbuka, dan memiliki maruah yang tidak bergantung kepada jawatan atau kuota. Itulah kemerdekaan yang sebenar.
Oleh itu inilah yang belum lagi kita capai, walaupun kita sudah merdeka selama 69 tahun. Itulah cabaran dan persoalan moral terbesar selepas hampir tujuh dekad merdeka: bukan tentang siapa berkuasa lebih jauh lagi tentang apa yang kita lakukan dengan kuasa itu untuk memerdekakan jiwa, minda, dan kehidupan setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.
Oleh Ismal Hashim Yahaya
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.