
KUALA LUMPUR | 1 Sep 26 – Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tidak akan bertanding kerusi Parlimen selagi bapanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, masih menjadi Ahli Parlimen.
Ahli Exco Wanita UMNO itu berkata, pendirian tersebut dibuat kerana beliau menghormati prinsip bapanya yang tidak mahu Parlimen dilihat sebagai tempat untuk anak beranak.
“Abah (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memang tidak mahu saya bertanding di Parlimen, sebab abah tidak mahu orang fikir Parlimen ini tempat anak beranak.
“Jadi, saya perlu hormat abah sebagai bapa yang ada prinsip tersendiri, kalau hendak bertanding pun, mungkin saya pergi ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nurulhidayah, beliau sehingga kini berpegang kepada prinsip bahawa “Parlimen bukan tempat anak beranak”.
Pendirian itu bermakna sekiranya beliau diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, DUN menjadi antara pilihan yang mungkin dipertimbangkan, berbanding kerusi Parlimen.
Nurulhidayah pada masa sama berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu terus diperkukuhkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang meskipun terdapat pemimpin parti itu yang dikenakan tindakan ketika ini.
Katanya, tidak kira BN bekerjasama dengan mana-mana parti politik, jentera parti perlu terus memainkan peranan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
Pendirian Nurulhidayah itu menarik perhatian kerana beliau merupakan anak kepada Presiden UMNO, namun memilih untuk tidak memasuki gelanggang Parlimen pada masa yang sama dengan bapanya.
Sebaliknya, DUN dilihat sebagai kemungkinan laluan politik sekiranya beliau mahu bertanding, sekali gus mengelakkan persepsi bahawa institusi Parlimen menjadi ruang politik untuk ahli keluarga yang sama. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.