
KUALA LUMPUR, 15 Sep 25 – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa proses pelucutan harta berjumlah RM170 juta yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bekas setiausaha politiknya, Anuar Mohd Yunus, adalah berasingan daripada sebarang prosiding jenayah.
AGC dalam kenyataannya berkata, laporan penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diterima pada 12 September, dan pihaknya kini sedang meneliti dokumen tersebut bagi menentukan langkah susulan.
“Pelucutan harta dan pendakwaan jenayah adalah dua aspek undang-undang yang berbeza. Keputusan pelucutan tidak menutup ruang untuk AGC menilai bukti dan mempertimbangkan sebarang tindakan pendakwaan,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, Ismail Sabri dan Anuar tidak mencabar permohonan SPRM untuk melucut hak wang tunai tersebut, dan ia telah dimasukkan ke dalam dana kerajaan.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan dalam kalangan pemerhati undang-undang bahawa keengganan mencabar pelucutan itu boleh menyukarkan prosiding jenayah difailkan.
AGC memberi jaminan bahawa setiap keputusan berhubung pendakwaan hanya akan dibuat selepas penelitian rapi terhadap bukti, dan akan dilaksanakan secara bebas, telus serta mengikut lunas undang-undang. @politiko.my